PELAKON tersohor tanah air, Beto Kusyairi mengakui bahawa filem Mat Kilau bukanlah rujukan sejarah kepada masyarakat, malah ia merupakan medium untuk mereka sampaikan semangat perjuangan tokoh terdahulu demi mendapatkan keadilan dan kemerdekaan.
Menurut Beto, watak yang dipegangnya dalam filem tersebut, aitu Wahid, merupakan watak fiksyen yang dilakonkan mengikut imaginasi dan perbincangan bersama pengarah Syamsul Yusof.
Apabila dipersoal mengenai ketidakpuasan hati sesetengah pihak mengenai jalan cerita filem Mat Kilau, Beto, atau nama sebenarnya NurKusyairy Zakuan Osman, 42, mengakui bahawa ia sesuatu yang mustahil untuk memuaskan hati semua pihak.
“Watak Wahid ni adalah fiksyen yang saya lakonkan atas imaginasi dan atas perbincangan pengarah iaitu Syamsul Yusof. Segala karakter, personaliti dan sebagainya semua atas kehendak pengarah.
“Mengenai perkara itu, apa yang saya nak sampaikan ialah kita tak boleh nak puaskan hati semua pihak.
“Filem bukanlah rujukan sejarah. Kalau kita nak rujuk sejarah, bukan filem tempatnya. Kalau nak rujuk sejarah, rujuklah kepada pakar untuk dapatkan cerita yang tepat.
“Ini adalah bentuk hiburan, atau medium yang kita cuba sampaikan kepada penonton tentang semangat perjuangan mereka untuk mendapatkan keadilan dan kemerdekaan pada waktu itu. Itu yang paling penting sekali
“Kita hanya nak ceritakan apakah kesusahan dan kepayahan pahlawan zaman dahulu untuk dapatkan apa yang kita ada sekarang ini,” katanya kepada URTV.
Tambah Beto, dia mengesahkan bahawa filem Mat Kilau ini merupakan filem yang hanya diinspirasikan daripada peristiwa benar.
“Filem Mat Kilau ini bukan berdasarkan kisah benar (based on true story) , tapi dia diilhamkan daripada peristiwa benar (inspired by true events).
“Benda ni pun pengarah dah cakap dah sebelum ni. Dah keluar artikel dah pun. Kemungkinan orang kat luar sana tak perasan.
“Jadi, saya memang sahkan filem ini hanya diinspirasikan daripada kisah benar,” ujarnya.
Beto berkata demikian pada majlis Tayangan Perdana Filem Mat Kilau di GSC Starling Mall, semalam.
Apabila dipersoal mengenai pengalaman bekerjasama dengan Syamsul, Beto menyifatkan pengarah terbaik Asia Pasifik itu sebagai seorang yang ‘gila’ dan sangat menghormatinya.
“Saya anggap dia (Syamsul) sebagai seorang pengarah dan sutradara yang ‘gila’ sebab semua benda dia buat. Dan atas kegilaan dia tu, saya sangat menghormati beliau dan hasil kerjanya.
“Sebab dari mula dia menulis, dia lah yang pegang kamera, dia yang mengarah, dia yang menyunting dan sebagainya. Semua dia yang buat.
“Saya pun secara jujurnya pelik dari mana datangnya tenaga yang dia dapat untuk pikul semua sekali atas bahu dia,” ujarnya.
Untuk rekod, filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan ini berkisarkan tentang perjalanan seorang pahlawan Melayu, Mat Kilau bersama ayahandanya Tok Gajah dan sahabat-sahabatnya bangkit menentang penjajahan British.
Selain Beto, karya epik yang bakal ditayangkan tidak lama lagi ini dibintangi oleh Datuk Adi Putra sebagai Mat Kilau dibantu oleh pelakon terkenal tempatan antaranya Fattah Amin (Awang), Johan As’ari (Yassin), Khir Rahman (Usup) dan penampilan istimewa dibawakan khas dari Indonesia Yayan Ruhian (Toga)
Filem tersebut bakal ditayangkan di seluruh pawagam pada 23 Jun ini.

