KUCING peliharaan Allahyarham Adibah Noor dijaga oleh pembantu peribadinya (PA) yang dikenali sebagai Todd serta ahli keluarga penyanyi itu sendiri.
Perkara tersebut diberitahu oleh Todd menerusi ciapan di Twitter yang menggunakan akaun Adibah Noor.
“Assalamualaikum, sila ambil maklum, kebajikan kucing-kucing arwah Adibah Noor terpelihara dengan baik di bawah jagaan PA Adibah Noor dan keluarga arwah,” tulisnya.
Malah, Todd turut menasihati orang ramai supaya tidak terpedaya dengan berita palsu tentang kebajikan kucing-kucing tersebut.
“Mohon jangan terpedaya dengan berita-berita palsu mengenai kebajikan anak-anak kucing itu,” ciapnya lagi.
ARTIKEL BERKAITAN: Adibah Noor meninggal dunia , Jenazah Adibah Noor selamat dikebumikan
Dalam pada itu, pemilik Anugerah Mahligai Arah Nasib Abadi Haiwan (AMANAH) yang sebelum ini pernah menyuarakan kesudian untuk menjaga dan memelihara 40 ekor kucing milik Adibah Noor, turut mengesahkan berita tersebut.
“Pencerahan. Untuk kes AMANAH bersetuju memberi izin kucing-kucing untuk berteduh kerana faktor kematian tuan kucing berakhir di sini. Alhamdulillah, kucing-kucing itu (milik arwah Adibah Noor) selamat dijaga oleh PA dan keluarga arwah. Harap maklum,” ujar pemilik AMANAH dalam Facebook.
Perkongsian maklumat itu mengundang reaksi positif netizen yang sebelum ini melahirkan kebimbangan terhadap kebajikan semua kucing milik penyanyi Terlalu Istimewa itu.
Malah, ada segelintir pihak menyatakan kesanggupan untuk mengambil dan membela kucing-kucing berkenaan.
Adibah,52, meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta di Kuala Lumpur pada 18 Jun lalu akibat kanser ovari tahap empat.
Pemberitahuan tersebut sekali gus memberi kelegaan kepada netizen terutama buat pecinta haiwan yang bimbang dan prihatin memikirkan nasib 40 ekor kucing milik arwah selepas penyanyi itu meninggal dunia pada 18 Jun lalu.
\
Sebagai info, Allahyarhamah Adibah Noor, 52, merupakan seorang pencinta kucing dan untuk rekod, dia memiliki lebih 40 ekor kucing peliharaan pelbagai baka, termasuk kucing jalanan yang dibela di rumahnya.
Selebriti serba boleh itu meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta di Kuala Lumpur pada 18 Jun lalu akibat kanser ovari tahap empat

