PERNAHKAH anda dengar tentang haiwan yang akan membunuh dirinya sendiri untuk mempertahankan diri? Bunyinya agak pelik, namun memang wujud haiwan yang mempunyai sifat seperti ala-ala Kamikaze ini.

Haiwan ini ialah spesies semut ‘Camponotus saundersi’ yang mempunyai kelebihan meletup secara semula jadi bagi mempertahankan dirinya. Spesies semut ini hanya terdapat di Malaysia dan Brunei. Ia tergolong dalam kumpulan semut Carpenter.

Spesies semut ini akan meletupkan dirinya sendiri bagi mempertahan diri dan koloninya daripada ancaman musuh. Kaedah meletupkan diri sendiri merupakan cara terakhir yang digunakan semut ini untuk menghalang musuh daripada mengganggu komunitinya. Semasa letupan berlaku, dalam masa yang sama semut ini menyebarkan racun kepada musuhnya.

Semut ini hanya ada di Malaysia dan Brunei,

Jika diamati cara semut ini seakan-akan sama dengan falsafah kamikaze yang diamalkan tentera Jepun sewaktu perang dunia kedua.

Biasanya, sebelum semut ini meletupkan diri untuk membunuh musuhnya, ia akan bertarung habis-habisan dahulu. Jika gagal mengalahkan musuh, semut ini akan menjadikan badannya sebagai bom untuk menghancurkan musuhnya. Musuh semut jenis ini selalunya terdiri daripada labah-labah dan juga semut yang lebih besar daripadanya.

Proses meletupkan diri ini berlaku secara semula jadi. Ia dikenali sebagai autothysis. Melalui proses ini, semut tersebut akan merapatkan badannya dan mengetatkan bahagian abdomen dan salur pencernaannya.

Proses tersebut dilakukan bagi mengumpulkan racun dari seluruh badannya ke bahagian belakang badan. Apabila racun sudah terkumpul sepenuhnya, secara automatik, badan semut ini akan meletup dan racun akan berterbangan ke arah musuhnya.

Semut ini akan meletupkan diri dan menyebarkan racun kepada musuhnya.

Racun yang dikeluarkan itu seakan-akan gam berwarna kekuning-kuningan. Racun itu akan melekat pada badan musuh dan boleh menyebabkan kematian. Namun begitu, kandungan toksin racun ini bergantung pada jumlah racun yang dihasilkan oleh semut tersebut. Semakin besar badan itu, maka lebih banyak jumlah racun yang dihasilkan.

Bahan dalam racun itu mengandungi nilai Ph yang berlainan bergantung kepada apa yang semut itu makan. Kandungan racun itu juga mempunyai racun jenis polyacetates (sejenis bahan kimia yang boleh didapati di dalam bahan pencuci), dan aliphatie (boleh didapati di dalam minyak, hidrokarbon dan alkohol).

Selain itu, terdapat bahan kimia yang lebih kecil jumlahnya di dalam racun semut ini iaitu phenols dan terpenoid. Racun ini sememangnya sudah wujud di dalam badan spesies semut ini yang membuatkan ia boleh meletup pada bila-bila masa apabila merasa dirinya terancam.

Setiap haiwan termasuk mempunyai tahap kecerdikannya tersendiri. Jadi, spesies semut ini juga tahu bila ia perlu membunuh dirinya untuk mempertahankan diri dan koloninya.

____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’