Oleh Shahbudin Embun
PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengambil langkah proaktif dengan memansuhkan permit import (AP) barangan makanan. Namun langkah tersebut tidak dapat mengurangkan harga barangan yang naik mendadak disebabkan kenaikan harga juga berlaku di negara lain.
Masalah global kenaikan harga barang melanda dunia disebabkan beberapa faktor seperti perang Rusia-Ukraine, pemanasan global dan pasca pandemik Covid-19. Malaysia tak terkecuali daripada fenomena tersebut. Namun ada segelintir yang meletakkan kesalahan kepada UMNO/BN.
Kita lihat siapakah sepatutnya memainkan peranan penting untuk mengambil langkah proaktif mengurangkan kenaikan harga barangan keperluan asas.
Antaranya:
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Ronald Kiandee (PPBM)
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali (PPBM).
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mustapa Mohamad (PPBM).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi (PBB)
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Muhyiddin Yassin (PPBM).
Walaupun keadaan ekonomi negara tidak begitu memberangsangkan, kerajaan tidak mengurangkan kebajikan rakyat. Penambahan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) menunjukkan betapa seriusnya kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat.
Satu jawatankuasa khas jihad untuk mengatasi kenaikan harga barang baru dibentuk di bawah Tan Sri Annuar Musa. Diharapkan agar jawatankuasa ini mampu untuk mengurangkan masalah yang dihadapi rakyat ketika ini.
Andai kata kerajaan PH masih memerintah, sudah tentu Perdana Menterinya menyarankan agar rakyat mengikat perut sebagai mana ucapan Tun Mahathir Mohamad di perhimpunan bulanan penjawat awam Jabatan Perdana Menteri satu masa dahulu.
Saya amat tertarik dengan tindakan tegas yang akan diambil oleh Kerajaan Keluarga Malaysia iaitu menggempur pihak yang tidak bertanggungjawab dalam isu penyelewangan minyak masak bersubsidi. Saya minta supaya apa saja barang-barang terkawal atau tidak, juga patut dibanteras penyelewangannya secara holistik demi menyelamatkan negara daripada dilanda inflasi yang tidak terkawal.
Saya teringat zaman Tun Abdul Razak Hussein sebagai Perdana Menteri dan Menteri MITI ketika itu adalah Tun Hussein Onn. Beliau memerangi para peniaga parasit ini secara holistik dan kekuatan penguatkuasaan agensi di bawah kendalian beliau berserta hanya ada akta Supplies Act dapat membanteras penyorok barang di sempadan. Para penguat kuasa ketika itu telah membanteras para parasit-parasit ini waima di laut sebab banyak minyak dan barang barang kawalan kita diseludup.ke Thailand.
Saya percaya dengan tertubuhnya Kumpulan Khas KPDNHEP, polis, dan tentera ini masalah penyelewangan dapat diatasi segera .
Saya juga berharap pihak berwajib jangan sesekali memberi peluang kepada mereka yang terlibat dengan jenayah mensabotaj ekonomi, Jika dapat, mereka patut diadili di mahkamah secepat mungkin dan semua harta haram milik mereka wajib dirampas.
Tahniah Perdana Menteri atas keperihatinan dalam isu yang penting ini demi menjaga kemaslahan rakyat Keluarga Malaysia .
Penulis adalah penganalisis politik merangkap Pengerusi Biro Politik dan Kepimpinan Majlis Perundingan Melayu (MPM)

