PELAKON, Shahz Jaszle sedar keterampilan memainkan peranan yang amat besar untuk memastikan dirinya kekal relevan dalam industri seni tanah air masa kini.

Memetik laporan mStar, Shahz atau nama sebenarnya Mohd Shahrizal Jaszle Jasmin, 33, sanggup menurunkan berat badannya sebanyak 14kg hanya dalam 23 hari dalam usahanya untuk muncul kembali dalam industri lakonan.

Pelakon drama Sehangat Asmara itu juga akui amalkan diet Human Chorionic Gonadotrophin (HCG) dan hanya mengambil 500 kalori sahaja sehari.

“Sebelum ini saya jarang diberi watak utama disebabkan faktor fizikal. Jadi saya tanamkan dalam diri untuk dapatkan bentuk badan yang baik sebagai tanda kemunculan semula.

“Saya berjaya turunkan sebanyak 14 kilogram dari 86 kg sebelum itu. Setiap hari saya hanyak makan ikan siakap yang dikukus dan brokoli. Memang rasa muak, tetapi demi hendak kurus saya sanggup buat,” katanya.

Dalam pada masa sama, Shahz akui kini layanan yang diterima sangat berbeza setelah membaiki keterampilan dirinya selain memanjatkan rasa syukur kerana masih diberi kepercayaan untuk membawa watak hero meskipun sudah ramai artis baru.

“Faktor utama untuk kekal relevan dalam industri seni adalah perlu kekalkan bentuk badan yang menarik. Saya sendiri dapat rasakan layanan berbeza berbanding sebelum ini ketika badan berisi.

“Syukur apabila kembali diberi tawaran sebagai hero. Rasanya sudah lama tidak menerima watak utama,” ujarnya.

Malah, tegas Shahz, walaupun dia sudah lama bertapak dalam industri seni dan bergelar senior namun itu bukan tiket buat dirinya untuk ‘demand’.

“Sebagai pelakon sememangnya saya ada harga tersendiri namun itu tidak bermakna saya demanding. Industri ini juga adalah perniagaan dan harga untuk sesebuah tawaran masih boleh runding.

“Hendak bersaing dengan pelakon baharu yang berusia 20-an bukan mudah. Sebab itu perlu sentiasa menjaga kualiti dalam lakonan,” jelasnya lagi.

Untuk rekod, diet HCG yang diamalkan oleh Shahz merupakan diet ketat yang bertujuan menurunkan berat badan seseorang itu dengan cepat selain meningkatkan metabolisme dan menghilangkan lemak tanpa rasa lapar.