
APABILA tidak belajar dan mengambil iktibar daripada peristiwa lalu, ramai melakukan kesilapan sama yang akhirnya menyusah dan merugikan diri sendiri.
Beberapa hari lalu, 380 jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Hasrat ke tanah suci tidak kesampaian akibat terpedaya dengan janji palsu sebuah syarikat pelancongan swasta.
Jemaah dimaklumkan akan menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH). Visa furada ialah visa yang diurus sendiri dan dikeluarkan oleh Arab Saudi, tidak melibatkan kuota yang diperoleh TH untuk jemaah Malaysia.
Difahamkan, visa ini diurus hanya selepas semua urusan visa yang berkaitan dengan TH selesai. Oleh itu prosesnya lewat dan kebarangkalian untuk memperoleh visa dikatakan 50-50 sahaja. Jika ada pun, jumlahnya tidak menentu.
Walau pun jemaah diminta oleh syarikat pelancongan terlibat untuk datang ke KLIA pada Khamis 7 Julai kerana penerbangan akan berlepas pada pukul 4.30 petang, mereka dimaklumkan ia ditunda pada 7 malam, walhal penerbangan terakhir ke Jeddah pada hari itu ialah pukul 6 petang. Selepas itu tiada lagi penerbangan haji.
Jemaah mendakwa tidak pernah ditunjukkan tiket penerbangan dan visa, namun menaruh sepenuh kepercayaan kepada syarikat berkenaan. Tidak dapat digambarkan betapa sedih dan kecewanya mereka kerana telah membelanjakan berbelas hingga puluhan ribu ringgit untuk menunaikan Rukun Islam ke lima itu.
Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur dalam reaksinya kesal terhadap kejadian yang menimpa warga Malaysia yang diperdaya oleh agensi pelancongan yang mendakwa telah mendapat visa daripada kedutaan. Pihak kedutaan menegaskan tiada kena mengena dengan kejadian tersebut.
Sebelum itu pada Mac lalu, kedutaan telah mengingatkan mengenai iklan oleh beberapa syarikat Malaysia yang mempromosikan pakej pelancongan dan program menunaikan haji tahun ini.
Kedutaan ketika itu memberi amaran ia tidak berkomunikasi dengan mana-mana pihak di Malaysia daripada segi pengaturan haji tahun ini. Apabila orang ramai tidak menghiraukan peringatan ini, musibah seperti dihadapi 380 jemaah berlaku. Harapan ke tanah suci berkecai.
Baca artikel berkaitan: Pemilik agensi pelancongan antara direman tipu jemaah haji
Berikutan laporan oleh ramai jemaah terkandas ini, polis dilaporkan telah menahan beberapa individu daripada syarikat pelancongan berkenaan untuk siasatan. Syarikat tersebut juga dikatakan berjanji akan mengembalikan wang jemaah secara berperingkat serta mengembalikan pasport mereka.
Ini bukan kali pertama, kedua atau ketiga kejadian seperti ini berlaku apabila tiba musim haji. Saban tahun terjadi. Cerita bakal jemaah diperdaya oleh syarikat pelancongan bagai drama tahunan yang terus berlaku, membuktikan apa yang terjadi sebelumnya tidak menjadi ingatan dan pengajaran.
Dalam urusan umrah pun penyelewengan kerap berlaku. Sudah terlalu kerap kisah penipuan umrah berlaku. Bakal jemaah terkandas di lapangan terbang, syarikat yang dikatakan menganjur serta mengendalikan umrah berkenaan hilang serta lepas tangan.
Namun masih ramai tidak belajar daripada kesilapan lalu. Walau pun Tabung Haji sudah berkali-kali memberi peringatan agar urusan ke tanah suci perlu melalui TH untuk memastikan bakal jemaah tidak tertipu dan kebajikan mereka sentiasa terjaga, masih ramai bertindak sebaliknya.
Mereka lebih selesa memilih syarikat pelancongan yang tidak pasti kewibawaannya. Mungkin kerana tertarik dengan pakej yang ditawarkan, dan sudah terlalu lama menunggu giliran belum dapat panggilan. Jadi apabila ada tawaran daripada syarikat tertentu terus ghairah menerima.
Bukan tidak boleh pergi ke tanah suci melalui pakej disediakan oleh syarikat pelancongan swasta. Namun mesti dipastikan syarikat ini berdaftar dan dilesen oleh Tabung Haji. Juga mesti dilesen oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.
Jangan mudah percaya atau terpengaruh dengan syarikat pelancongan yang tidak pasti latar belakangnya. Jangan sekali-kali membuat andaian bahawa tidak mungkin syarikat tersebut akan menipu atas andaian ia adalah urusan agama.
Penipuan berlaku walau dalam urusan melibatkan agama kerana penunggang agama memang ramai. Kejadian yang berlaku dalam urusan haji dan umrah sebelum ini adalah contoh nyata agama dijadikan bahan perniagaan dan mengaut untung semata-mata.
Malah pernah berlaku beberapa tahun lalu kaki tangan TH sendiri tidak amanah apabila mengubahsuai kandungan pangkalan data sistem haji dengan menerima bayaran, ertinya menerima rasuah.
Tujuannya untuk membolehkan nama yang berada di sebelah bawah senarai menunggu dinaikkan agar lebih cepat menunaikan haji, atau yang tidak layak menunaikan haji pada tahun tertentu boleh berbuat demikian.
Ini adalah penipuan dan penganiyaan kerana ‘memancung’ peluang orang yang lebih layak dan lebih dahulu mendaftar. Jika yang patut ke tanah suci lebih awal tetapi tertangguh kerana nama diubah suai, dan kemudian dia meninggal sebelum sempat ke tanah suci, alangkah besar dosa yang terpaksa dipikul oleh mereka yang melakukan perbuatan tidak jujur itu.
Yang bersubahat sudah didakwa didakwa di mahkamah. Syukur selepas kejadian tersebut tidak kedengaran kejadian sedemikian berulang di TH. Menunaikan haji mesti mengikut urutan, kecuali jemaah yang telah terpilih menarik diri atas sebab tertentu bolehlah diganti oleh orang lain.
Kecenderungan untuk ke tanah suci menggunakan khidmat syarikat-syarikat pelancongan tidak jujur yang akhirnya memperdayakan jemaah mesti dihentikan. Orang ramai yang berhasrat menunaikan haji mesti mengambil berat aspek ini. Gunakan saluran yang sah.
Apa yang telah menimpa ramai jemaah sebelum ini wajar jadi pedoman dan panduan untuk tidak mengulangi kesalahan sama. Belajar daripada sejarah. Jika ada rezeki ditentukan Allah, akan sampai juga ke tanah suci. Yang penting jangan biarkan diri terjebak dengan penipuan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

