Insan yang bernama Prakash Padukone, Deepika Padukone

Dari Penulis

KEHEBATAN Prakash Padukone, 69, di gelanggang badminton digeruni lawan. Kecemerlangan Deepika Padukone, 39, di persada Bollywood, sukar digugat. Kedua-duanya adalah nama besar di India dalam dua bidang berlainan. Menariknya, mereka adalah anak beranak.

Kemerlangan Prakash dalam badminton dan Deepika di layar perak adalah pencapaian unik, menjadi inspirasi kepada yang lain untu menempa kejayaan. Nama mereka dijulang dan bermain di bibir peminat badminton dan filem Bollywood hingga ke peringkat antarabangsa.

Bagi peminat badminton, terutama pada era 80-an dan 90-an, nama Prakash tidak asing. Dia ialah lagenda badminton perseorangan terbaik pernah dilahirkan oleh India, pernah meniti kejayaan sebagai pemain perseorangan nombor satu dunia pada 1980.

(GAMBAR KIRI) Gaya Prakash Padukone pada pertandingan akhir perseorangan lelaki Kejohanan All England 1980, (Gambar kanan) kini Prakash sibuk mengendalikan akademi badminton miliknya di Banglore.

Pada tahun itu juga Prakash muncul pemain India pertama menjuarai Kejohanan Badminton Seluruh England (All England Championship), kejohanan badminton berprestij dunia. Dia menewaskan jaguh Indonesia, Lim Swie King, pada saingan akhir dengan kemenangan 15-3 dan 15-10.

Kejayaan lain pernah diraih oleh Prakash ialah pingat emas pada Sukan Komanwel 1978 di Edmonton, Alberta, Kanada. Juga juara perseorangan Kejohanan Badminton Piala Dunia di Kuala Lumpur pada 1981 menewaskan Han Jian dari China pada pertandingan akhir.

Selain itu, dia menang pingat perak di Kejohanan Asia di Calcutta (1983), pingat gangsa masing-masing di Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark (1980), Piala Dunia di Kyoto, Jepun (1980), Sukan Asia di Teheran (1974) dan Seoul (1986) serta beberapa kejohanan lain.

Atas kejayannya mengharumkan nama India dalam badminton, kerajaan mengurniakan Anugerah Arjuna (1972) dan Padma Shri kepadanya pada 1982.

Prakash, yang berkahwin dengan sepupu, Ujjala, bersara daripada badminton aktif pada 1989. Tetapi cintanya terhadap badminton tidak padam. Pada 1994, bersama seorang lagi pemain badminton, Vimal Kumar, dia menubuhkan Akademi Badminton Prakash Padukone di Banglore.

Prakash Padukone menjulang piala juara perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Seluruh England 1980.

Pemain Malaysia yang seangkatan dengan Prakash termasuk pemain tiga beradik, Misbun, Razif dan Jalani Sidek. Misbun pernah berentap dengan Prakash di Kejohanan Piala Dunia di Stadium Negara pada 1983. Misbun menang.

Misbun layak ke pertandingan akhir. Dalam perjalanan ke akhir, dia menewaskan pemain terkemuka seperti Louis Pongoh (Indonesia) dan Morten Frost Hansen (Denmark). Pada perlawanan akhir Misbun tewas kepada Lim Swie King (Indonesia). Kehebatan dan jejak kejayaan Prakash menempa nama di gelanggang badminton tidak diwarisi oleh dua anaknya, kedua-duanya perempuan, Deepika dan Anisha Padukone.

Namun Deepika cemerlang sebagai bintang ‘panas’ di Bollywood, menjadi pilihan utama pengarah dan produser. Dia merupakan pelakon yang menerima bayaran tertinggi.

Deepika lahir di Copenhagen, Denmark, pada 1983. Dia berkahwin dengan pelakon Ranveer Singh pada 2018 dan mempunyai seorang anak bernama Dua.

Kehebatannya di Bollywood terserlah apabila menempa kejayaan besar mencatat rekod sebagai bintang yang menghadiahkan tiga fiem blockbuster dengan kutipan jutaan ringgit. Filem tersebut ialah ‘Pathaan’, ‘Jawan’ dan ‘Kalki 2898 AD’.

Keluarga bahagia Prakash Padukone dan isteri Ujalla bersama anak-anak, Deepika (belakang kanan) dan Anisha.

Kejayaan ini tidak dapat ditandingi oleh pelakon popular Bollywood lain seperti Shah Rukh Khan, Salman Khan, Aamir Khan, Amitab Bachchan dan Akshay Kumar.

Deepika juga berjaya menarik perhatian Hollywood, dengan membintangi filem antaranya ‘XXX:The Return of Xander Cage’ yang mendapat sambutan hangat di pasaran.

Deepika bermula dengan industri filem Kannada (salah satu bahasa di India) sambil berusaha keras untuk menembusi Bollywood. Filem pertama di Bollywood ialah ‘Om Shanti Om’ (2007) berpasangan dengan Shah Rukh Khan.

Sejak itu nama Deepika terus bersinar sehingga muncul sebagai bintang filem paling berjaya dan paling mahal. Ini sepadan dengan kecdudukannya sebagai pelakon pujaan ramai serta mampu memberi pulangan menguntungkan kepada produser.

Untuk memastikan kehadirannya di layar putih terus diminati, Deepika bijak memilih watak. Dia hanya menerima tawaran bagi watak terpilih, bukan main tangkap muat.

Deepika Padukone berpasangan dengan Shah Rukh Khan dalam ‘Om Shanti Om’ keluaran 2007.

Baginya watak yang jadi pilihan utama ialah yang boleh mendekatkan diri dengan penonton agar mereka sentiasa ingat padanya.

Antara filem-filem lakonan Deepika ialah ‘Om Shanti Om’, ‘Pathaan’, ‘Kalki 2898 AD’, ‘Jawan’, ‘Fighter’, ‘Singham Again’, ‘Tamasha’, ‘Yeh Jawani Hai Deewani’, ‘Race 2’, ‘Billu’ dan lain-lain.

Kisah kejayaan anak beranak, Prakash dan Deepika dalam bidang masing-masing adalah lambang kejayaan yang membanggakan. Mereka berjaya menjulang kehebatan diri juga mengharumkan nama keluarga dan negara.

Walau pun si ayah sudah bersara daripada badminton aktif, dia tetap sibuk dengan sukan yang dicintai dengan pengendalian akademi badmintonya.

Si anak pula terus cemerlang di Bollywood. Deepika masih ada beberapa tahun untuk terus menggilap nama.

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

PRN Johor buka tirai Sabtu ini, keputusan bakal status quo?

GENDANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bakal dipalu secara rasmi Sabtu ini apabila tirai proses penamaan calon dibuka...

More Articles Like This