
SUDAH bersara tetapi pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) belum dibayar balik. Macam jenaka bunyinya tetapi ia adalah realiti seperti didedahkan oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim baru-baru ini.
Ertinya dari waktu menerima pinjaman, tamat belajar di menara gading, bekerja sehingga usia bersara, antara 55 hingga 60 tahun, masih berhutang pinjaman PTPTN. Rambut pun sudah putih, ada anak cucu, tetapi tidak peduli membayar balik pinjaman.
Akibat perangai peminjam, hutang tertunggak kepada PTPTN mencecah sehingga berbilion ringgit. Di kalangan yang culas ini, ada yang langsung tidak pernah membuat bayaran walau sekali. Walhal, jika jadual bayaran dipatuhi, tidak timbul masalah tunggakan.
Kelompok degil ini memang berniat tidak mahu membayar. Sengaja buat-buat lupa ada hutang perlu dilunas. Apa lagi jika pihak PTPTN sendiri tidak bertindak tegas terhadap peminjam ingkar. Peminjam naik lemak, tidak bayar pun tiada tindakan. Akhirnya sampai ke tua tidak bayar.
Apabila sudah sampai waktu bersara wajib, baik dalam sektor awam atau swasta, jawatan yang disandang perlu dilepas walau setinggi mana jawatan tersebut, atau sebanyak mana imbuhan bulanan yang diterima.
Bezanya, kakitangan awam akan menikmati pencen selepas bersara. Jumlah pencen ini bergantung kepada jumlah terakhir gaji diterima. Lagi besar gaji, lagi banyak pencen.
Pendek kata selepas bersara, kakitangan awam boleh hidup selesa kerana tetap menerima ‘gaji’ setiap bulan. Walau pun jumlahnya kurang sedikit berbanding gaji asal, sekurang-kurangnya tidak perlu terlalu risau mengenai belanja bulanan.
Namun tidak demikian halnya bagi kakitangan swasta. Apabila bersara, gaji terhenti. Untuk keperluan hidup bergantung kepada simpanan atau duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Jika pandai berjimat dan berbelanja mengikut kemampuan, simpanan boleh bertahan lama.
Tetapi jika boros berbelanja, wang yang ada akan cepat susut. Ibarat bukit kalau asyik ditarah lama kelamaan akan rata. Maklum asyik keluar tiada yang masuk. Kerana itu ramai terus bekerja setelah bersara.
Jadi isunya, jika selama ini menikmati imbuhan dan pendapatan tetap setiap bulan, skenapa liat membayar pinjaman? Sudah bersara rasanya lagi berat untuk membayar setelah selama ini menikmati pinjaman ‘percuma’.
Baca artikel lain: Ponteng peperiksaan SPM bagai penyakit berjangkit
Hanya yang memperoleh ijazah sarjana muda kepujian kelas pertama dikecuali daripada membayar balik pinjaman sebagai penghargaan kepada mereka yang beroleh kejayaan cemerlang. Selain itu kena bayar balik.
Culas membayar pinjaman PTPTN sudah sampai ke peringkat serius. Menurut Norliza, seramai 430,000 peminjam langsung tidak pernah membuat bayaran balik menyebabkan hutang tertunggak sebanyak RM5.46 bilion.
Angka ini adalah sebahagian daripada jumlah hutang tertunggak sebanyak RM11.32 bilion melibatkan 1.25 juta peminjam sehingga September 2024.
Senario ini menggambarkan tahap kesedaran dan tanggung jawab di kalangan peminjam PTPTN untuk membayar balik sangat teruk. Sangat tidak wajar pada usia 60-an belum langsaikan hutang.
Bagi yang belum bekerja, mungkin boleh difahami jika belum mampu membayar balik. Tetapi bagaimana jika sudah bekerja tetapi tidak pernah membuat bayaran sehingga bersara?
Menurut Norliza, dalam usaha mengatasi masalah culas membayar, PTPTN telah menjalankan kajian mendalam untuk mengenal pasti sebab utama peminjam tidak bayar pinjaman.
Hasil kajian mendapati antara sebabnya ialah peminjam benar-benar tidak mampu membayar, hilang kerja serta masalah kesihatan. Selainnya sengaja tidak mahu bayar walau mampu. Peminjam beranggapan membayar tidak penting dan bukan keutamaan.
Sikap buruk ini tidak adil untuk peminjam lain yang setia membayar sekalipun mungkin datang daripada keluarga kurang berkemampuan. Tetapi kerana sedar tanggungjawab dan sifat amanah dalam diri, mereka tetap komited membayar hutang.
Tabung PTPTN ialah tabung pusingan. Pembayaran balik pinjaman akan digunakan untuk membiayai pelajar lain yang mememerlukan apabila masuki institusi pengajian tinggi. Bagaimana PTPTN hendak memberi bantuan berterusan jika tabung ‘kering’ atau terus susut?
Kerana itu peminjam jangan hanya pentingkan diri sendiri. Setelah pernah dibantu, tidak peduli nasib pelajar lain yang memerlukan. Kikislah sikap buruk ini. Sedarlah hutang mesti dibayar.
PTPTN sedia berunding mengenai kaedah bayaran balik atau menyusun semula jadual pembayaran untuk memberi ruang kepada peminjam membayar menurut kemampuan. Gunakalah kelonggaran ini. Yang penting ada usaha membayar.
Namun pihak PTPTN mesti tegas menangani isu culas membayar. Peminjam yang mampu tetapi sengaja ingkar membayar mesti diambil tindakan tegas. Selain tindakan undang-undang, guna kaedah lain seperti potongan gaji atau sekat pencen. Jika peminjam main kasar, PTPTN perlu lebih kasar.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

