NG TZE YONG/Gambar BERNAMA

MESKI tewas, Ng Tze Yong berjaya memberi tentangan sengit kepada lawan yang juga pemain utama India Lakshya Sen pada acara akhir perseorangan badminton lelaki Sukan Komanwel Birmingham.

Tze Yong, 22, bermula cemerlang apabila menghasilkan persembahan yang hampir sempurna dan memenangi set pertama dengan 21-19.

Sen yang berada di ranking 10 terbaik dunia bagaimanapun berjaya bangkit pada set kedua dengan permainan lebih kemas selain dibantu beberapa kesilapan Tze Yong.

Sen menang dengan 21-9 di set kedua, namun Tze Yong memperkemaskan permainan di set penentuan sekali gus membuahkan harapan kepada peminat badminton Malaysia untuk melihat kejutan dilakarkan.

Apatah lagi Tze Yong diberikan jolokan raja rubber set – merujuk kejayaannya setiap kali aksi di Birmingham diheret ke set penentuan.

Bagaimanapun kali ini, Sen menggagalkan harapan Tze Yong apabila menamatkan perlawanan dengan mata 21-16 biarpun lawannya tidak sesekali menunjukkan tanda mengalah sepanjang set ketiga.

Pencapaian membawa pulang pingat perak perseorangan di Sukan Komanwel adalah satu kejayaan besar buat Tze Yong apatah lagi sebelum kejohanan bermula, ramai yang tidak memberikan sebarang harapan kepada beliau untuk melangkah sehingga ke final.

Tze Yong juga dipilih perseorangan utama setelah Lee Zii Jia menarik diri daripada kejohanan ini.

Baca: Harapan pada Tze Yong, Pearly Tan-M. Thinaah tambah koleksi emas

Tze Yong sasar bawa pulang pingat di Sukan Komanwel

Dalam acara berpasukan campuran Sukan Komanwel minggu lalu, Tze Yong telah menewaskan rakan sepasukan Sen, Srikanth Kidambi 21-19, 8-21, 21-16 dalam set penentuan untuk meletakkan Malaysia di landasan untuk memenangi pingat emas.

Beliau juga mengejutkan juara dunia dari Singapura pada aksi suku akhir perseorangan lelaki Sabtu lalu dan Kidambi sekali lagi semalam.

Sementara itu, Tze Yong mengakui beliau sendiri tidak menyangka berjaya mara sehingga akhir Sukan Komanwel.

“Saya tidak sangka untuk menang (pingat perak), sejujurnya saya gembira dengan Sukan Komanwel ini kerana saya rasa saya berada dalam prestasi terbaik di Birmingham.

“Saya tidak pasti sama ada saya boleh berbuat demikian (mengekalkan prestasi) pada kejohanan akan datang tetapi saya berharap dapat membawa prestasi baik ini ke Kejohanan Dunia pertama saya kerana saya percaya pingat perak ini pastinya akan mendorong saya untuk bersaing di Jepun,” katanya seperti dilapor Bernama.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis penyampaian pingat.