PELAKON Azhar Sulaiman enggan mengambil tindakan saman terhadap seorang pengguna laman sosial yang mendakwa anak perempuannya, Kasih Iris Leona menjalinkan hubungan sulit dengan suaminya.

Azhar atau nama penuhnya Hairi Azhar Sulaiman,51, tidak berhasrat untuk menggunakan perundangan sebaliknya memberikan amaran kepada wanita yang dikenali sebagai Nor Azira Othman.

“Salam Nor Azira Othman, Saya tidak mahu memanjangkan perkara ini dengan anda tentang Leona.

“Dengan saya anda terselamat sebab saya masih memikirkan tentang kesihatan mental anda. Kalau orang lain, pasti mereka akan saman,” tulis Azhar menerusi satu hantaran di Instagram miliknya.

Malah, Azhar turut menitipkan pesanan kepada individu terbabit agar menggunakan laman sosial dengan tujuan yang baik.

“Sekadar nasihat saya buat anda, carilah seorang kawan baharu yang mahir pasal media sosial ini.

“Saya doakan yang terbaik untuk hidup anda dan sentiasa di bawah lindungan Allah SWT selalu,” katanya.

Terdahulu, Leona yang juga seorang pempengaruh media sosial telah memuat naik satu paparan skrin komen seorang pengguna laman sosial yang panjang lebar.

Mesej fitnah itu mendakwa Leona telah menjalinkan hubungan cinta dengan suami orang sejak berusia 12 tahun sehingga kini.

Selain itu, pemilik akaun Instagram @naosa25121985 turut menuduh Leona,20, telah mengikis duit suaminya sebanyak RM3,000 setiap bulan.

KENYATAAN panjang lebar individu yang menuduh Leona menjalinkan hubungan dengan suami orang

Azira juga meminta agar duit suaminya dipulangkan semula sebelum dia membuat laporan polis.

Azhar ada menghubungi wanita itu menerusi WhatsApp bagi memninta bukti atas semua dakwaan yang dikeluarkan terhadap anak perempuannya.

Difahamkan, wanita itu sudah ‘menghidu’ suaminya menjalinkan hubungan sulit selepas lelaki itu membuat ciapan semula satu status yang ddimuat naik Leona sebelum ini.

Sementara itu, Leona menerusi Instagram Story turut menafikan 100 peratus jika dia menjalinkan hubungan sulit dengan suami orang.

“Saya hanya mahu katakan ia 100 peratus tidak benar. Saya tak pernah keluar atau berjumpa dengan suami orang lain.

“Macam mana dia boleh tuduh saya ambil duit suami dia sedangkan duit ibu dan bapa saya pun saya tak oernah gunakan,” jelasnya.