Benarkah Islam melarang solatkan jenazah orang munafik?

Dari Penulis

Telah disebutkan antara balasan orang munafik, jenazahnya dilarang untuk disolatkan sebagaimana yang difirmankan Allah dalam surah at-Taubah: 84.

“Dan janganlah engkau sembahyangkan seorang pun yang mati dari orang-orang munafik itu selama-lamanya, dan janganlah engkau berada di (tepi) kuburnya, kerana sesungguhnya mereka telah kufur kepada Allah dan Rasul-Nya, dan mereka mati sedang mereka dalam keadaan fasik (derhaka).”

Menurut Dr. Khairul Anuar, Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), sebab utama ayat ini turun kerana Abdullah bin Ubay telah meninggal dunia. Dia yang lebih dikenali sebagai bapa munafik adalah musuh utama umat Islam kerana banyak melakukan fitnah dan kerosakan terutama dalam perang Uhud.

Begitu juga dia turut menyebarkan fitnah terhadap Aisyah r.ha yang dikatakan curang dengan Baginda s.a.w. dan banyak lagi pengkhianatan terhadap Baginda s.a.w.

Apabila dia meninggal, anaknya seorang yang memang beriman kepada Allah dan Rasul s.a.w. telah meminta kepada Baginda melalui wasiat ayahnya agar diberikan jubah Baginda s.a.w. untuk dipakaikan kepada jenazah.  

Sebagai seorang Rasul utusan Allah, Baginda adalah rahmatan lil alamin, maka apabila umatnya meminta sesuatu, sudah pasti Baginda s.a.w. tidak akan menolaknya.

Seusai itu anak Abdullah bin Ubay meminta pula agar Baginda mensolatkan jenazah bapanya. Tatkala itu Baginda s.a.w. bersetuju untuk mensolatkan jenazah, akan tetapi sahabatnya Saidina Umar al-Khattab segera memaut lengan Baginda dan berkata,

“Wahai Rasulullah! adakah kau mahu solatkan orang yang begini?

Lalu jawab Baginda s.a.w. “Wahai sahabatku Umar! jika kali yang tujuh puluh satu Allah berkata akan mengampuni dosa orang munafik, maka akan aku lakukan jua sehingga jumlah tersebut agar dia mendapat keampunan Allah” sambil merujuk kepada ayat 80 surah at-Taubah,

“Engkau (Muhammad) memohon keampunan bagi mereka atau engkau tidak memohon keampunan bagi mereka (adalah sama sahaja). Sekalipun engkau memohon keampunan bagi mereka tujuh puluh kali, namun Allah sekali-kali tidak akan memberi keampunan kepada mereka. Yang demikian itu adalah kerana mereka ingkar (kafir) kepada Allah dan Rasulnya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang fasik.”

Mendengarkan itu, maka Umar r.a. pun membiarkan Baginda s.a.w. untuk solatkan jenazah. seusai solat, Baginda s.a.w. menghantar pula jenazah ke kubur. Sampai di kubur menjadi kebiasaan selepas jenazah dikebumikan Baginda s.a.w. akan berkata,

“Minta ampunlah kepada saudara kamu sekarang ini, dan mintalah Allah teguhkan hatinya kerana ketika ini dia sedang ditanya oleh munkar dan nakir.”

Jadi kisahnya apabila turun ayat 84 surah at-Taubah ini, selepas itu Baginda s.a.w. sudah tidak lagi mensolatkan mana-mana orang munafik yang meninggal dunia. Walaupun Baginda s.a.w. tidak pergi, akan tetapi sahabat yang lain tetap pergi.

Hanya seorang sahabat sahaja yang mengikut kelakuan Baginda. Sekiranya Baginda pergi dan solatkan jenazah, dia pasti akan turut pergi. Sebaliknya jika Baginda s.a.w. tidak pergi, dia pun akan turut sama tidak pergi. Itulah dia Saidina Umar al-Khattab r.a.

Bagaimanapun selepas kewafatan Baginda s.a.w. nama-nama orang munafik telah Baginda berikan kepada sahabatnya yang juga pemegang rahsia Baginda s.a.w. iaitu Huzaifah bin al-Yaman.

Saidina Umar akan mengikut Rasulullah s.a.w. sama ada Baginda pergi dan solatkan jenazah atau tidak

Baginda sangat percaya dengan amanahnya, hatta pernah Saidina Umar r.a. bertanya kepada Huzaifah tentang nama-nama orang munafik,

Wahai Huzaifah! di dalam banyak nama-nama itu, ada atau tidak nama aku?”

Lalu jawab Huzaifah, “Aku tidak boleh memberitahu kepada sesiapa pun waima kamu hai Umar, kerana itu adalah wasiat dari Baginda s.a.w. agar tidak diberitahu kepada sesiapa.”

Justeru itu, tatkala berlakunya kematian maka Umar r.a. akan mengikut pula pada Huzaifah. Jika Huzaifah pergi solatkan jenazah, maka dia akan pergi. Akan tetapi jika Huzaifah tidak pergi, maka dia pun ikut tidak akan pergi.

Larangan hanya untuk Baginda s.a.w.

Ditanya pula adakah ayat 84 dari surah at-Taubah ini hanya khusus untuk Baginda s.a.w. sahaja atau boleh diguna pakai oleh umat Islam yang lain sekiranya mereka tahu seseorang itu munafik akidah?

Maka jawab Dr. Khairul Anuar, dalam hal ini kita tidak boleh menghukum seseorang hanya bersandarkan persepsi sahaja atau membuta tuli. Hanya kerana kita lihat dia seperti cuba menjadi musuh dalam selimut terhadap umat Islam maka kita kata dia munafik.

Baginda s.a.w. punyai kelebihan sendiri kerana dia punya hubungan yang khusus dengan Allah. Perbincangan mengenai ayat 84 bergantung pada keadaan semasa yang mengambil kira maslahah umum. Tidak timbul persoalan hukum itu tertakluk kepada Rasulullah s.a.w. sahaja dan bukan kepada umatnya.

Kata para ulama, “Jika kamu lihat ada seorang yang berdiri atas bukit dan dia berkata bahawa, aku adalah tuhan kamu, maka hendaklah kita takwilkan apa yang disebutkannya itu. Sedang apa yang ia katakan itu mungkin adalah ayat al-Quran yang menyebutkan tentang Firaun di mana itu pengakuan Firaun yang mengaku sebagai tuhan.”

Begitu pula sekiranya kita melihat pada janggut seseorang bertitik air arak jatuh, maka hendaknya kamu takwilkan yang baik tentang dia. Mungkin sahaja ada orang yang menjirus arak padanya.

“Jangan sesekali mengatakan yang ia minum arak selagi kamu sendiri tidak nampak dia minum.”

Tegasnya lagi, begitulah apa yang Islam ajarkan agar tidak terus menghukum serta melabelkan orang dengan berbagai-bagai keburukan. Apa yang penting dalam Islam adalah sifat husnu zon (bersangka baik). Walau bagaimanapun itu juga bergantung pada keadaan yang tidak melibatkan maslahah umum.

Sekiranya melibatkan maslahah umum, barulah boleh diambil tindakan. Hal ini kerana kejahatan jika melibatkan hanya seorang sahaja seperti ia hanya duduk di rumah, itu tidak mengapa.

Akan tetapi apabila kejahatan itu terkait dengan maslahah umum, kita wajib mengambil tindakan sewajarnya, namun perlu mengikut hukum atau tindakan yang telah ditetapkan dalam syariat Islam.

Hukum menguruskan jenazah adalah fardu kifayah maka setiap orang bertanggungjawab melaksanakannya sekalipun orang munafik

Oleh demikian itu, andainya kita lihat memang zahirnya ia mempunyai ciri munafik yang jelas seperti yang disebutkan dalam al-Quran atau hadis, maka boleh atau tidak kita solatkan jenazahnya? 

Dalam hal ini solat jenazah merupakan fardu kifayah. Islam menitipkan apabila matinya seorang Muslim, ia perlu diuruskan dan disempurnakan dengan empat perkara iaitu, mandi, kafan, solat dan dikebumikan.

Sekiranya dalam satu kampung tiada seorang pun yang menguruskan empat perkara itu, maka seluruh penduduk kampung berdosa kerana itu satu tanggungjawab yang perlu diuruskan.

“Ini dalam bab uruskan jenazah, sesiapapun ia, kita wajib uruskan. Manakala ayat 84 ini lebih menjurus tentang kekufuran.

“Adapun orang yang kita sendiri tidak jelas atau tahu tentangnya pun sekiranya kita mampu solatkan, Insya Allah ganjaran qirat yang sebesar bukit Uhud pasti akan diperoleh sebagaimana yang dijanjikan Allah.

Itu yang pasti dapat. Apa pun yang penting kita perlu berbaik sangka dalam semua hal, dan jangan sesekali menghukum tanpa ada pembuktian yang jelas kerana munafik itu sendiri apa yang tertanam dalam hati,” Wallahu a’lam

____________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Fahami perbezaan hadis daif, palsu dalam beramal di era digital

Oleh Mohd Shahrizal Faizal Mahasiswa Tahun 3 di Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. PERKEMBANGAN media sosial pada...

More Articles Like This