TERLETAK sejauh 846 kilometer dari Adelaide, Australia, wujud sebuah pekan kecil yang mempunyai keunikan tersendiri. Dikenali sebagai Coober Pedy, pekan ini secara dasarnya kelihatan seperti sebuah gurun pasir kering dan panas.

Namun, wujud sebuah penempatan istimewa di kawasan ini di mana penduduknya tinggal di dalam tanah.

Di sebalik tanah yang gersang ini, penduduk pekan ini menjalankan aktiviti di bawah permukaan tanah. Terletak dengan kedalaman 22 meter, kota bawah tanah ini sebenarnya meriah dengan masyarakat setempat.

Coober Pedy.

Kehidupan mereka di sini bukanlah juga lengkap dengan segala kemudahan. Setiap rumah penduduk mempunyai kemudahan asas seperti bilik tidur, ruang tamu, dapur dan segala keperluan harian. Untuk kegunaan komuniti pula, turut disediakan kemudahan seperti perpustakaan, muzium, restoran dan tempat beribadat.

Terdapat juga kawasan perkuburan untuk masyarakat tempatan. Cuma, lokasi pengebumian diletakkan di bahagian atas tanah. Secara tidak langsung, kelengkapan asas seperti yang disebutkan menjadi faktor perkembangan kota bawah tanah ini berkembang menjadi sebuah penempatan.

Menurut laman rasmi Coober Pedy, sejarah pembukaan lokasi ini bermula pada tahun 1915. Jim Hutchison dan anaknya William merupakan individu awal yang menemui kawasan ini.

Pada mulanya, mereka datang ke situ bertujuan untuk mencari emas. Bagaimanapun, hasrat mereka tidak kesampaian kerana tiada emas yang ditemui di Coober Pedy.

Pencarian mereka akhirnya menemui batuan cantik dan unik dikenali sebagai opal. Batu ini mempunyai kilauan yang berwarna-warni dan nilainya amat lumayan.

Opal, permata berharga dari Australia.

Sejak itu, bermulalah pencarian batuan popular ini di Coober Pedy. Malah, opal menjadi antara batu permata berharga negara Australia. Menariknya, opal turut dijual di pekan ini bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk memilikinya. Selain terdapat dalam bentuk perhiasan seperti rantai dan cincin, permata itu juga boleh didapati menerusi bentuk mentah tanpa diolah. Lebih menakjubkan, batuan opal ini juga mudah dilihat di celahan dinding rumah penduduk.

Berbalik kepada kisah Coober Pedy, permulaan kepada penempatan di bawah tanah berlaku beberapa tahun selepas kawasan ini ditemui. Kawasan ini mengalami cuaca panas yang ekstrem apabila tiba musim tersebut.

Disebabkan suhu di kawasan ini yang mencapai sehingga 40 darjah selsius apabila tiba musim panas, penduduk mula membina kediaman di bawah tanah. Sejak itu, semakin ramai yang membina rumah begitu dan dianggarkan pekan ini kini mempunyai hampir dua ribu orang penduduk.

Penduduk membina rumah di dalam tanah.
Walaupun di dalam tanah, ia dilengkapi dengan kemudahan.
Muzium bawah tanah.

Penempatan bawah tanah ini mula mendapat perhatian pada tahun 1981, apabila seorang penduduk tempatan telah membina sebuah hotel yang dinamakan sebagai ‘Desert Cave Hotel’. Pembinaan hotel itu mempunyai persamaan dengan rumah penduduk setempat. Ia dibina di bawah tanah dan menggunakan batuan sekeliling berwarna merah.

Pengunjung yang datang ke kawasan ini akan melihat beberapa papan tanda yang didirikan sebagai amaran. Kebanyakannya berunsur kepada amaran supaya berhati-hati semasa berjalan di Coober Pedy. Ini disebabkan oleh laluan ke kediaman penduduk dan lubang untuk mencari batu opal berada di merata tempat. Jika cuai, pengunjung mudah mengalami kecederaan.

Sementara itu, keunikan yang dimiliki kota bawah tanah ini turut menyebabkan ia menjadi lokasi penggambaran beberapa buah filem. Antaranya seperti Fire In The Stone, Until The End of the World, Opal Dream, ‘Pitch Black’, ‘Red Planet’, Mortal Kombat dan banyak lagi.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & TelegramFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare