PADA zaman sekarang adalah kelaziman dalam urusan sewa beli hartanah harus memiliki dokumen hitam putih untuk membuktikan perjanjian yang dimeterai. Namun, tahukah anda ribuan tahun dahulu juga sudah wujud dokumen begini?
Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Universiti Akdeniz di Turki beberapa tahun lalu, sebanyak 400 keping dokumen purba telah dijumpai hasil ekskavasi yang dijalankan antara tahun 1960 hingga 2016 di penempatan sebuah kota purba, Teos. Kota ini dibina ketika era pemerintahan Greek kuno iaitu Ionian League yang terletak dalam wilayah Izmir di Turki.

Dalam penemuan itu, wujud sebuah dokumen istimewa yang menarik minat kumpulan pengkaji di universiti tersebut. Berdasarkan kajian, dokumen berkenaan merujuk kepada satu surat perjanjian sewa beli salah sebuah bangunan di kota terbabit.
Menurut Ketua Jabatan Bahasa Prasejarah di universiti itu, Profesor Mustafa Adak, ia merupakan penemuan bernilai sejak lebih 50 tahun kerja-kerja penggalian dijalankan di kawasan itu. Hasil ujian menunjukkan usia dokumen purba tersebut mencecah 2,200 tahun.
Jelas Mustafa, dokumen itu ditulis di atas sebuah plat berbentuk tiang dinding sebuah bangunan yang berukuran 1.5 meter panjang. Terdapat banyak baris perkataan telah ditulis bermula dari atas hingga ke bahagian bawah. Ia adalah surat perjanjian sewa beli terperinci dan tertua dijumpai setakat hari ini.
Merujuk pada isi kandungannya, ia menceritakan perihal persetujuan sekumpulan individu iaitu penduduk kota tersebut tentang perjanjian sewa beli sebuah bangunan. Ia turut menerangkan tentang kesanggupan penyewa untuk menjaga bangunan sebaik mungkin, meliputi keseluruhan struktur bangunan, golongan hamba dan rumah ibadat.

Isi perjanjian sewa beli itu turut menyatakan faktor bangunan itu disewa. Antara sebabnya kerana kekangan kewangan yang dihadapi oleh pemilik bangunan. Oleh sebab itu, bangunan tersebut disewakan kepada mana-mana individu berminat untuk menjalankan operasi perniagaan, sebagai tempat tinggal dan sebagainya.
Mustafa turut menjelaskan, dia tertarik dengan satu perenggan ayat di dalam surat perjanjian tersebut. Ia berbunyi, ‘penyewa bangunan ini tidak dikehendaki membayar cukai kepada pihak pemerintah. Ia dikecualikan ekoran bangunan tersebut mempunyai rumah ibadat.’
Menurut Mustafa, pengecualian itu sah jika kesanggupan penyewa menyatakan persetujuan akan menggunakan tempat suci berkenaan selama tiga hari dalam tempoh setahun.
Dokumen yang ditulis atas plat berbentuk tiang dinding itu turut tertera beberapa nama. Pihak penyelidik percaya nama-nama tersebut ditulis sebagai pengesahan persetujuan terhadap terma dan syarat yang dinyatakan oleh penyewa. Berdasarkan pemerhatian lanjut, sebanyak enam nama berjaya dikesan dan tiga daripadanya adalah golongan pentadbir utama di kota kuno Teos.
Selain kenyataan dan bukti persetujuan, dokumen purba itu turut menyentuh perihal hukuman sekiranya penyewa melanggar perjanjian. Sekiranya penyewa melakukan kerosakan ke atas bangunan, tidak membayar sewa tahunan atau tidak membaiki kerosakan, penyewa akan berdepan hukuman yang berat. Antaranya lagi, pemilik bangunan berhak untuk melakukan pemeriksaan berkala pada setiap tahun ke atas aset tersebut.
Terdapat juga beberapa klausa penting dalam perjanjian tersebut. Ia menerangkan tentang syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh setiap penyewa. Syarat utama melibatkan aspek kewarganegaraan di mana penyewa mestilah rakyat tempatan dan bermastautin di kota Teos. Pada masa yang sama,had usia penyewa mestilah berumur 20 tahun ke atas.

Ketua Jabatan Arkeologi, Universiti Ankara, Professor Musa Kadioglu berkata, penemuan surat perjanjian sewa beli itu membuka lembaran baru ke atas sejarah peradaban dan kebudayaan masyarakat Anatolia. Secara tidak langsung, dia percaya bahawa peradaban kuno ini mempunyai struktur sosial yang lengkap.
Siapa sangka, tamadun kuno ini sudah mempunyai satu sistem perjanjian bertulis dalam hal penyewaan bangunan. Justeru, tidak mustahil penemuan serupa lebih banyak lagi pada masa akan datang dan membongkar misteri kehidupan sosial dan sistem kehakiman Teos yang wujud sejak era Hallenistik ini.
Selain penyelidik tempatan, kota kuno Teos turut mendapat perhatian daripada ahli arkeologi luar. Penyelidikan pertama pernah dilakukan oleh British Society of Dilettanti pada tahun 1764, 1765 dan tahun 1862.
Selepas itu, kumpulan penyelidik dari Perancis pada tahun 1924 hingga 1925. Kemudian, pada tahun 1962 hingga 1967, kumpulan penyelidik dari universiti Ankara dan Universiti Yusuf Boysal dan Baki Ogun pernah menjalankan kajian di lokasi bersejarah itu.
Manakala kumpulan penyelidik dari Universiti Selçuk di Turki yang pernah menjalankan kajian di lokasi ini menemui sebuah tablet mengandungi tulisan tentang peraturan lumba kuda. Difahamkan tablet yang dijumpai di wilayah Beysehir itu berusia 2,000 tahun.
Menurut ketua kumpulan penyelidik itu, Profesor Hasan Bahar, tablet itu merujuk kepada kehidupan sosial para joki dan kegunaan kuda sewaktu pemerintahan empayar Rom. Selain itu, ia turut menerangkan maklumat berkaitan peraturan lumba kuda dan kaedah pembiakan haiwan tersebut pada 2,000 tahun yang lalu.

______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

