PENYANYI nasyid, Dr Fitri Haris menerima pengiktirafan Successful People In Malaysia 2022 dari Britishpedia yang berpangkalan di United Kingdom (UK).
Ujar Fitri, pengiktirafan yang memuatkan biografi personaliti-personaliti dan tokoh-tokoh berjaya serta memberi sumbangan kepada masyarakat memberi momen termanis dalam hidupnya.
“Penghargaan ini amat bermakna buat saya kerana meletakkan saya sebaris tokoh-tokoh ternama penerima sebelumnya seperti Tun Dr. Mahathir, Tan Sri Quek Leng Chan dan juga Tan Sri Tony Fernandes.
“Prosesnya bukan mudah kerana saya perlu menjalani temubual tiga bulan lepas untuk pastikan kesahihan maklumat.
“Bila mereka dah kaji latar belakang dan pencapaian, barulah ‘entitle’ dapat ‘certificate’ dan dimasukkan dalam ensiklopedia. Saya baru dapat sijil ini. Prosesnya sangat rapi dan profesional.
“Ini adalah pengiktirafan ketiga saya dalam tempoh dua tahun setelah menerima ASEAN Inspiring Awards 2021 di Surabaya, Indonesia dan Top Young CEO 2021 di Kuala Lumpur,” katanya dengan penuh teruja,” katanya.
Fitri berkata, tanpa disedari pengalaman lebih 20 tahun bergelar anak seni, ahli perniagaan, pegawai penyelidik, perunding perniagaan, pemasaran, media dan akademik telah melayakkannya menerima pengiktirafan tersebut.
Dalam bidang akademik, Fitri terbabit untuk kajian muzik Islam melalui modul ‘This is Nasyid’ hasil kerjasama bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOM).
Ia merupakan satu bahan legasi ilmu yang boleh dimanfaatkan bukan sahaja di Malaysia tetapi di peringkat antarabangsa dalam memperkenalkan muzik Islam dengan lebih meluas dalam konteks musicology dan juga ethnomusicology.
“Saya tidak mahu bergerak sendirian dan kini sedang merangka untuk menubuhkan sebuah institut sendiri yang akan memperkenalkan bidang baharu dalam dunia akademik di Malaysia khususnya dan dunia amnya,” ujarnya.
Pengiktirafan Successful People In Malaysia 2022 yang akan dimuatkan di dalam Ensiklopedia akan dilancarkan pada akhir tahun ini dan boleh didapati di perpustakaan-perpustakaan seluruh Malaysia dan beberapa negara di dunia seperti Singapura, Jerman, Slovakia, Austria, Czech Republic, Hungary dan Poland.
Untuk rekod, selain penyanyi, Fitri,37, kini turut bergelar pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia selepas berjaya bergelar graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti of Nottingham, UK pada 2019.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

