ݢاليري نوسنتارا ايفيسود 17
كرمبيت مروڤاكن سجنيس سنجات كچيل بروڤا ڤيساو دڠن بيله ملڠكوڠ. دسببكن بنتوقڽ سڤرتي كوكو، چاكر دان تاجي، اي جوݢ دسبوت سباڬاي لاوي ايم دان كوكو ايم.
منوروت چاتتن سجاره، كرمبيت براصل دري داءيره مينڠكاباو دأيندونيسيا. مريک ممڠڬيلڽ سباڬاي كارمبياق اتاو كورمبياق. سنجات اين كمودين ترسيبر ملالوءي مشاركت مينڠ يڠ مرنتاو كڤلباڬاي ڤلوسوق نوسنتارا.
كرمبيت دأينسڤيراسيكن درڤد چاكر هريماو سوقتو حيوان ايت باڽق بركليارن دهوتن سكيتر سومترا ڤد زمان دهولو. سنجات اين دبنتوقكن ملڠكوڠ سڤرتي كوكو هريماو ستله مريک مليهت چارا هريماو برتاروڠ مڠڬوناكن چاكرڽ.
ڤارا ڤنديكر سيلت مينڠ تراوتام يڠ براليرن سيلت هريماو امت ماهير مڠڬوناكن كرمبيت. اي مروڤاكن ساله ساتو سنجات يڠ دڬوناكن دالم ڤرسيلتن.
ڤڤاته مينڠكاباو اد مڽبوت، جک سسأورڠ ڤنديكر ايت بلوم مڠواساءي كرمبيت، عبارت هريماو تنڤا كوكو، ايم تنڤا تاجيڽ، بوروڠ تنڤا ڤاروهڽ، ڬاجه تنڤا ڬاديڠڽ دان كرباو تنڤا تندوقڽ.
سنجات كچيل اين دڬوناكن سچارا جارق دكت اوليه ڤارا ڤنديكر دان سريكندي. اي جوݢ دكنلي دڠن ببراڤ نام لاءين مڠيكوت بنتوق بيله، لڠكوڠن، ساءيز دان تمڤت. انتاراڽ سڤرتي كوكو ريماو، كرمبيت ملايا، كرمبيت مينڠ، كرمبيت سومباوا، كرمبيت لومبوق، كرمبيت سوندا دان كوكو هانومن.
ترداڤت بوكو سجاره دأيروڤه يڠ منچريتاكن ڤد زمان دهولو، تنترا ايندونيسيا مڠڬوناكن كريس دان تومبق دتاڠن مريک سماس برڤرڠ، ماناكالا كرمبيت دجاديكن سباڬاي سنجات تراخير ستله مريک كهابيسن سنجات دالم ڤرتمڤورن.
كرمبيت لازيمڽ دڬوناكن سباڬاي سنجات رهسيا. سلاءين ايت، اي جوݢ برفوڠسي سباڬاي الت ڤرتانين يڠ دڬوناكن اونتوق مڽاڤو اكر دان مڠومڤول باتڠ ڤادي.
منوروت محمد انيس عبدالصمد، كوراتور موزيوم ايتنوڬرافي ملايو، اونيۏرسيتي ملايا، كرمبيت دكاتيڬوريكن سباڬاي سنجات رهسيا دمان ڤماكاينڽ دسمبوڽيكن درڤد ڤڠليهتن عموم.
“سلالوڽ كرمبيت اين دسوروقكن دالم ڬولوڠن كاءين، دسمبوڽيكن ددالم سليندڠ اتاو سڠڬول. اي جوݢ مروڤاكن سنجات يڠ ڤاليڠ موده دباوا اوليه قوم وانيتا اونتوق ممڤرتاهنكن ديري،” اوجر محمد انيس.
والاوڤون كچيل دان نمڤق سڤرتي تيدق بربهاي، كرمبيت بوليه مڽببكن كچدراءن سريوس بهكن موده مراڬوت ڽاوا.
سلاءين كچيل دان موده دسمبوڽيكن، سنجات اين سوكر اونتوق ترلوچوت دالم ڤرتاروڠن. اي بوليه ملاكوكن دوا سرڠن دالم ساتو ڬرقن تاڠن، ماله سرڠن داڤت دلاكوكن لبيه ڤانتس دڠن كرمبيت.
كران هيبتڽ سنجات كچيل ايت، تيدق حيرانله ڤارا تنترا اميريکا توروت منجاديكن كرمبيت يڠ براصل دري عالم ملايو اين سباڬاي ساله ساتو سنجات واجب مريک سكيراڽ سنجات اڤي درمڤس اوليه موسوه.
ماله، ببراڤ شريكت دأميريكا توروت مڠحاصيلكن كرمبيت يڠ دكمبڠكن منجادي ساتو ڤرنياڬاءن كران كهيبتن سنجات كچيل اين يڠ منداڤت ڤرمينتاءن تيڠڬي ورݢ ايروڤه.
بوكن ايت ساج، اورڠ بارت توروت مڠاڤليكاسيكن سنجات اين كدالم ڤڠڬامبرن فيليم دان ڤلباڬاي ڤرماءينن ۏيديو سڤرتي Counter Strike. دالم دوكومنتاري تركنل ناشيونل ڬيوڬرافيک جوݢ ڤرنه مڽياركن قيصه كرمبيت يڠ مريک ڬلر سباڬاي ‘The Deadliest Knife in The World’ اتاو ڤيساو ڤاليڠ مماتيكن ددنيا.
GALERI NUSANTARA 17
KERAMBIT
Senjata yang diakui kehebatannya oleh orang Barat
Kerambit merupakan sejenis senjata kecil berupa pisau dengan bilah melengkung. Disebabkan bentuknya seperti kuku, cakar dan taji, ia juga disebut sebagai lawi ayam dan kuku ayam.
Menurut catatan sejarah, kerambit berasal dari daerah Minangkabau di Indonesia. Mereka memanggilnya sebagai karambiak atau kurambiak. Senjata ini kemudian tersebar melalui masyarakat Minang yang merantau ke pelbagai pelosok nusantara.
Kerambit diinspirasikan daripada cakar harimau sewaktu haiwan itu banyak berkeliaran di hutan sekitar Sumatera pada zaman dahulu. Senjata ini dibentukkan melengkung seperti kuku harimau setelah mereka melihat cara harimau bertarung menggunakan cakarnya.
Para pendekar silat Minang terutama yang beraliran silat harimau amat mahir menggunakan kerambit. Ia merupakan salah satu senjata yang digunakan dalam persilatan.
Pepatah Minangkabau ada menyebut, jika seseorang pendekar itu belum menguasai kerambit, ibarat harimau tanpa kuku, ayam tanpa tajinya, burung tanpa paruhnya, gajah tanpa gadingnya dan kerbau tanpa tanduknya.
Senjata kecil ini digunakan secara jarak dekat oleh para pendekar dan srikandi. Ia juga dikenali dengan beberapa nama lain mengikut bentuk bilah, lengkungan, saiz dan tempat. Antaranya seperti Kuku Rimau, Kerambit Malaya, Kerambit Minang, Kerambit Sumbawa, Kerambit Lombok, Kerambit Sunda dan Kuku Hanuman.
Terdapat buku sejarah di Eropah yang menceritakan pada zaman dahulu, tentera Indonesia menggunakan keris dan tombak di tangan mereka semasa berperang, manakala kerambit dijadikan sebagai senjata terakhir setelah mereka kehabisan senjata dalam pertempuran.
Kerambit lazimnya digunakan sebagai senjata rahsia. Selain itu, ia juga berfungsi sebagai alat pertanian yang digunakan untuk menyapu akar dan mengumpul batang padi.
Menurut Mohammad Anis Abdul Samad, Kurator Muzium Etnografi Melayu, Universiti Malaya, kerambit dikategorikan sebagai senjata rahsia di mana pemakaiannya disembunyikan daripada penglihatan umum.
“Selalunya kerambit ini disorokkan dalam gulungan kain, disembunyikan di dalam selendang atau sanggul. Ia juga merupakan senjata yang paling mudah dibawa oleh kaum wanita untuk mempertahankan diri,” ujar Mohammad Anis.
Walaupun kecil dan nampak seperti tidak berbahaya, tetapi kerambit boleh menyebabkan kecederaan serius bahkan mudah meragut nyawa.
Selain kecil dan mudah disembunyikan, senjata ini sukar untuk terlucut dalam pertarungan. Ia boleh melakukan dua serangan dalam satu gerakan tangan, malah serangan dapat dilakukan lebih pantas dengan kerambit.
Kerana hebatnya senjata kecil itu, tidak hairanlah para tentera Amerika turut menjadikan kerambit yang berasal dari alam Melayu ini sebagai salah satu senjata wajib mereka sekiranya senjata api dirampas oleh musuh.
Malah, beberapa syarikat di Amerika turut menghasilkan kerambit yang dikembangkan menjadi satu perniagaan kerana kehebatan senjata kecil ini yang mendapat permintaan tinggi warga Eropah.
Bukan itu saja, orang Barat turut mengaplikasikan senjata ini ke dalam penggambaran filem dan pelbagai permainan video seperti Counter Strike. Dalam dokumentari terkenal National Geographic juga pernah menyiarkan kisah Kerambit yang mereka gelar sebagai ‘The Deadliest Knife in The Word’ atau pisau paling mematikan di dunia.

