Tengku Datuk Seri Zafrul

GERAKAN koperasi disarankan untuk merebut peluang menceburi bidang pelaburan iaitu melalui pemilikan saham dalam syarikat tersenarai awam, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. 

Beliau berkata sebanyak 90 koperasi berdaftar telah membuat permohonan pelaburan bernilai RM1.43 bilion kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sementara 620 buah koperasi telah menjalankan aktiviti pelaburan saham siar dengan jumlah pelaburan sebanyak RM14.31 bilion.

Menteri Kewangan menambah gerakan koperasi ini adalah antara enjin pertumbuhan yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang dapat mentransformasi dan memperkasakan ekonomi masyarakat setempat.

“Justeru ia (gerakan koperasi) juga perlu meneroka model perniagaan koperasi baharu berdasarkan senario semasa bagi memastikan perolehan koperasi terus meningkat,” katanya ketika berucap di Program Jelajah Usahawan dan Koperasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Katanya elemen kreativiti dan keupayaan untuk mengolah model perniagaan yang baharu perlu digerakkan oleh koperasi semaksimum mungkin dengan mengambil langkah berani dalam menerokai teknologi hijau seiring dengan peralihan minat masyarakat dunia ketika ini.

“Usaha tersebut juga sejajar dengan komitmen kerajaan dalam memastikan teknologi hijau menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negara ke arah pembangunan mampan,” jelas beliau.

Baca artikel berkaitan: Kenaikan OPR tidak ditentukan kerajaan – Tengku Zafrul

Selain itu, Tengku Zafrul berkata gerakan tersebut perlu mengambil peluang dengan menginovasikan sektor koperasi agar tidak ketinggalan dalam apa jua peluang dan sektor-sektor baharu yang wujud selepas pandemik ini.

Sementara itu, beliau turut yakin ekonomi Malaysia mampu mencapai unjuran KDNK rasmi 2022, iaitu di antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus.

“Perkembangan suku kedua yang memberangsangkan ini disumbang oleh inisiatif Bajet 2022, pakej-pakej bantuan dan rangsangan ekonomi, Bajet 2021, serta dasar monetari yang berhemat.

“Petunjuk-petunjuk ekonomi terkini turut memberikan gambaran bahawa pemulihan ekonomi negara semakin baik, memberikan indikator yang positif kepada segmen perniagaan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan koperasi,” katanya. 

Mengulas mengenai Bajet 2023, katanya pembaharuan ekonomi yang ditekankan dalam bajet kali ini dapat memanfaatkan semua Keluarga Malaysia, termasuk peluang pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik, kehidupan yang lebih sejahtera dan peluang sosioekonomi yang inklusif dan mampan untuk semua.

“Khusus bagi PMKS pula, antara insiatif yang akan dipertimbangkan adalah meningkatkan daya saing komuniti perniagaan dan kemampanan industri yang perlu diperkukuh melalui penambahbaikan infrastruktur dan mudah cara; meningkatkan produktiviti; serta menggalakkan penggunaan teknologi dan digitalisasi dalam perniagaan,” katanya.

Tengku Zafrul berkata para usahawan dan koperasi disaran mengambil peluang untuk memanfaatkan sumber yang disediakan kerajaan sebagai langkah peralihan daripada perniagaan konvensional kepada dalam talian.

“Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan dan diperuntukkan untuk membantu usahawan mengetengahkan perniagaan mereka bagi mendorong adaptasi teknologi digital PMKS,” tambahnya.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram