Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menunjukkan isyarat bagus selepas berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan diadakan dalam masa terdekat.

Isyarat itu ditunjukkan Ismail Sabri ketika berucap dalam majlis Pelancaran Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) hari ini.

Menurut Ismail Sabri, beliau akan berbincang mengenai tarikh PRU-15 bersama-sama dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta lima kepimpinan tertinggi parti yang lain.

“Bila tarikhnya? Saya dengan Presiden akan tentukan. InsyaAllah dalam waktu terdekat kita akan berjumpa untuk berbincang perkara ini.

“Yang penting bila Parlimen dibubarkan, bila PRU15 diadakan, kita mesti menang.

“Kalau tidak menang, kita akan kembali seperti keadaan sebelum ini. Kepada Presiden, kita bincang cepat-cepat,” katanya sambil tersenyum memandang Ahmad Zahid.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Timbalan Presiden UMNO merangkap Pengarah PRU BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Pemuda BN, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan pemimpin-pemimpin BN yang lain.

Baca artikel berkaitan: Pemuda BN sokong 100 peratus Ismail Sabri

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, peperangan dalam PRU-15 kali ini amat berbeza dengan peperangan dalam PRU-14.

Jelas beliau, hal itu kerana dalam menghadapi PRU1-15, BN perlu menghadapi serangan secara maya oleh pihak pembangkang.

Oleh itu, tegasnya, Pemuda BN perlu memainkan peranan penting untuk membalas dan menjawab segala fitnah oleh parti pembangkang.

“Kita tidak mahu Pemuda BN dianggap hanya mampu pasang bendera dan poster sahaja. Peranan Pemuda lebih dari itu.

“Perang kali ini perang secara maya yang lebih bahaya dari perang fizikal. Pemuda perlu menguasai kemahiran di media sosial.

“Pada kali ini, mereka terus memainkan fitnah, terhadap pemimpin, BN dan kerajaan.

“Jika gagal jawab, kita akan menerima padah dalam PRU-15 yang mana kesannya amat besar,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Pemuda BN, Ismail Sabri melihat satu kebangkitan luar biasa ditunjukkan oleh lebih 10,600 peserta yang hadir pada hari ini.

Menurut Ismail Sabri, beliau percaya tidak ada sesiapa boleh menyekat kebangkitan Pemuda BN.

“Saya yakin dengan semangat yang ada, kalau saya bersetuju dengan Presiden untuk bubar Parlimen, insyaAllah kita akan menang besar dalam PRU-15. Lebih mudah nak tentukan tarikh kalau macam ini semangat ditunjukkan,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram