ݢاليري نوسنتارا ايفيسود 19
جبق اياله سجنيس ڤرڠكڤ اونتوق منڠكڤ بوروڠ. لازيمڽ بربنتوق سڤاروه بولتن دڠن تاڤق يڠ رات، دلڠكڤي ڤينتو كچيل سرتا تمڤت مڠڬنتوڠ جبق دان ترداڤت تالي جرت ددالمڽ يڠ بوليه دلارسكن كڤينتو جبق.

بياساڽ، جبق دڤربوات مڠڬوناكن باهن٢ يڠ موده دداڤتي سڤرتي روتن اتاو بولوه يڠ دراءوت منجادي بيله كچيل دان دأڽم مڠيكوت بنتوق يڠ دڬمري.

ڤمبورو اتاو ڤميكت بوروڠ سلالوڽ اكن ملتقكن سأيكور بوروڠ يڠ ممڤوڽاءي سوارا مردو ددالم جبق اونتوق مميكت، مڠڬودا اتاو منيڤو بوروڠ لاءين يڠ بركليارن دكاوسن بردكتن اڬر مماسوقي ڤرڠكڤ.

ترداڤت ببراڤ جنيس جبق بوروڠ. انتاراڽ جبق بوروڠ ڤويوه، سرينديت، مربوق دان تكوكور. ڤاليڠ ڤوڤولر اياله جبق ڤويوه.

ڤد زمان دهولو، اورڠ تيدق منترنق بوروڠ ڤويوه، نامون بوروڠ ايت موده دداڤتي يڠ هيدوڤ ليار. مريک منجاديكن اكتيۏيتي منڠكڤ بوروڠ ڤويوه ليار سباڬاي هوبي دماس لاڤڠ، تراوتام سلڤس موسيم منواي ڤادي. سلاءين ايت، بوروڠ اين دتڠكڤ اونتوق دجاديكن ماكنن.

جبق ڤويوه لازيمڽ بربنتوق سڠكر سڤاروه بولتن دڠن تاڤق رات. بهاڬين سروڠكوڤ بياساڽ دأڽم درڤد ڤوكوق ريبو٢. بهاڬين كڤالا جبق ڤولا سلالوڽ دهياسي اوكيرن موتيف٢ ملايو سڤرتي موتيف اون لارت، بوڠا كوڽيت دان كاليڬرافي.

بهاڬين سروڠكوڤ مروڤاكن سڠكر يڠ دلڠكڤي دڠن بكس ماكنن دان مينومن اونتوق ڤويوه دنق يڠ اكن منجادي ڤميكت بوروڠ ڤويوه ليار.

جبق اين بياساڽ دلتق دتڤي سمق اتاو ساوه يڠ منجادي تمڤت لالوان بوروڠ ڤويوه ليار. بوروڠ دنق اكن مڠلواركن بوڽي سباءيق ڤويوه ليار مندكتي جبق.

اڤابيلا ڤويوه ليار سيبوق برلاون دڠن دنق دالم جبق اين، اي اكن ملڠڬر توڠكت دهادڤن ڤينتو مڽببكن جرت اكن جاتوه لالو ممرڠكڤ ڤويوه ليار ايت.

بوكن سقدر ممرڠكڤ بوروڠ، جبق اين جوݢ مڠڬامبركن سني كهلوسن كرفتاڠن ڤمبواتنڽ.

برمولا دري هوبي ماس لاڤڠ، ڤمبواتن جبق توروت دبري سنتوهن نيلاي كسنين يڠ تيدق كورڠ هيبتڽ اوليه اورڠ ملايو دهولو. ماله، جبق يڠ دأوكير چنتيق كادڠكالا مڠڬامبركن ستاتوس ڤميليقڽ.

والاوڤون سقدر ڤرڠكڤ بوروڠ، جبق توروت دحاصيلكن دڠن تليتي. نيلاي ڤڠتاهوان دان تيكنولوڬي عالم ملايو بوكن هاڽ ترلتق ڤد جبق ايت سمات-مات تتاڤي جوݢ ميكانيسمى ممرڠكڤ حيوان ترسبوت.

جک دفهمي دڠن تليتي، اي توروت بركاءيت راڤت باڬايمان اورڠ ملايو دهولو ممهمي دان براينتركسي دڠن عالم سمولا جادي.

GALERI NUSANTARA 19

Jebak Burung

Jebak ialah sejenis perangkap untuk menangkap burung. Lazimnya berbentuk separuh bulatan dengan tapak yang rata, dilengkapi pintu kecil serta tempat menggantung jebak dan terdapat tali jerat di dalamnya yang boleh dilaraskan ke pintu jebak. 

Biasanya, jebak diperbuat menggunakan bahan-bahan yang mudah di dapati seperti rotan atau buluh yang diraut menjadi bilah kecil dan dianyam mengikut bentuk yang digemari.

Pemburu atau pemikat burung selalunya akan meletakkan seekor burung yang mempunyai suara merdu di dalam jebak untuk memikat, menggoda atau menipu burung lain yang berkeliaran di kawasan berdekatan agar memasuki perangkap. 

Terdapat beberapa jenis jebak burung. Antaranya jebak burung puyuh, serindit, merbuk dan tekukur. Paling popular ialah jebak puyuh.

Pada zaman dahulu, orang tidak menternak burung puyuh, namun burung itu mudah didapati yang hidup liar. Mereka menjadikan aktiviti menangkap burung puyuh liar sebagai hobi di masa lapang, terutama selepas musim menuai padi. Selain itu, burung ini ditangkap untuk dijadikan makanan.

Jebak puyuh lazimnya berbentuk sangkar separuh bulatan dengan tapak rata. Bahagian serungkup biasanya dianyam daripada pokok ribu-ribu. Bahagian kepala jebak pula selalunya dihiasi ukiran motif-motif Melayu seperti motif awan larat, bunga kunyit dan kaligrafi.

Bahagian serungkup merupakan sangkar yang dilengkapi dengan bekas makanan dan minuman untuk puyuh denak yang akan menjadi pemikat burung puyuh liar.

Jebak ini biasanya diletak di tepi semak atau sawah yang menjadi tempat laluan burung puyuh liar. Burung denak akan mengeluarkan bunyi sebaik puyuh liar mendekati jebak. 

Apabila puyuh liar sibuk berlawan dengan denak dalam jebak ini, ia akan melanggar tongkat di hadapan pintu menyebabkan jerat akan jatuh lalu memerangkap puyuh liar itu. 

Bukan sekadar memerangkap burung, jebak ini juga menggambarkan seni kehalusan kraftangan pembuatannya. 

Bermula dari hobi masa lapang, pembuatan jebak turut diberi sentuhan nilai kesenian yang tidak kurang hebatnya oleh orang-orang Melayu dahulu. Malah, jebak yang diukir cantik kadangkala menggambarkan status pemiliknya.

Walaupun sekadar perangkap burung, jebak turut dihasilkan dengan teliti. Nilai pengetahuan dan teknologi alam Melayu bukan hanya terletak pada jebak itu semata-mata tetapi juga mekanisme memerangkap haiwan tersebut.

Jika difahami dengan teliti, ia turut berkait rapat bagaimana orang Melayu dahulu memahami dan berinteraksi dengan alam semula jadi.