larangan mencela hujan turun
Sekadar gambar hiasan

Hari ini hujan mulai turun dari awal pagi, seorang penjual rojak mohon untuk tumpang berteduh di perkarangan kedaiku. Sementara menunggu hujan berhenti saya lihat dia membuka buku kecil, rupa-rupanya al-Quran dan dia begitu tekun membacanya.

Sehingga jam 11.30 pagi, hujan masih lagi turun dan seperti tiada tanda akan berhenti. Saya mula risau kerana kedai sepi tanpa pembeli. Seperti biasa, waktu hujan sebegini orang malas untuk keluar rumah.

Lantas, saya pergi ke arahnya sambil membawa minuman dan memberinya beberapa biji kurma. Terpandang di wajahnya langsung tiada raut gelisah yang terpamer. Saya sengaja memulakan perbualan.

“Kalau musim hujan, jualannya tidak menjadi ye pak cik?” Kata saya sambil melihat kenderaannya. “Masih tidak terusik ye barangnya”.

Dia hanya tersenyum lantas menjawab, “Iya nak.. mudah-mudahan ada rezekinya..” “Amin..” pintasku. Lagi persoalan “Kalau tidak habis juga macam mana tu cik?” tanyaku penuh simpati kerana dia meniaga barang makanan yang jelas akan rosak jika ditahan lama-lama.

“Ya nak, kalau tidak habis ada juga risikonya. Kalau yang tidak habis itu buah-buahan yang tidak boleh disimpan, seperti tembikai yang sudah dikopek, saya bagi pada jiran-jiran sahaja daripada membuangnya. Kalau seperti betik, jambu, mangga yang masih elok dan boleh disimpan, saya simpan sahaja. Mudah-mudahan dapat juga pahala sedekah.” Katanya tersenyum.

“Kalau hujan terus sampai petang ni, macam mana pak cik?” tanyaku lagi.

“Ya nak, Alhamdulillah, beerti rezeki hari ini diizinkan Allah untuk saya banyakkan berdoa dan meminta sesuatu pada Allah. Kan ketika hujan turun antara waktu mustajab doa” katanya yang tidak lekang senyuman di bibir. “Alhamdulillah diberi kesempatan oleh Allah untuk berdoa kepada Nya juga rezeki kan”.

“Jadi, wang dapat dari mana nanti pak cik?” tanyaku.

“Maknanya rezeki saya adalah bersabar. Nak, Allah yang mengatur rezeki kita, dan pada Allah jua saya bergantung harap sepenuhnya. Apa sahaja bentuk rezeki yang Allah bagi saya syukuri semuanya. Tapi alhamdulillah, bertahun saya jual rojak, walaupun cuaca tidak menentu, belum pernah lagi saya sampai kelaparan.”

“Pernah juga gerai saya langsung tidak dikunjungi pelanggan dalam satu hari, dan sudah tentu wang juga tidak ada untuk berbelanja. Tetapi tengok-tengok jiran mengirimkan makanan ke rumah. Kita hidup cari apa nak? Yang penting boleh makan biar ada tenaga untuk buat ibadah dan berusaha.” Katanya sambil memasukkan al-Quran ke dalam kocek bajunya.

“Hujan dah rintik, takpe la nak, pak cik pergi dulu ye.. terima kasih bagi tumpang..” Katanya sambil menutup badannya dengan plastik agar tidak terbias hujan.

Saya terpana! Betapa malunya saya. Dipenuhi rasa gelisah ketika hujan datang, begitu khuatir dengan rezeki material tidak dapat diterima sedangkan nikmat ada di depan mata.

Tiba-tiba hati yang tadinya gundah menjadi ceria, melihat hujan dengan senyuman, masih ada kesempatan dapat berdoa di waktu mustajab.

____________________________

Cerita di atas adalah tanda betapa ada manusia yang reda dengan turunnya hujan walaupun perniagaannya tidak laku. Bahkan dia percaya yang rezeki Allah itu tetap ada untuknya dan mengambil kesempatan untuk berdoa ketika waktu mustajab doa itu terjadi. Akhlak yang ada pada watak di atas harus dipuji dan dicontohi.

Apatah lagi, dalam Islam sendiri, menurut Dr. A. Irwan Santeri, Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), kita sememangnya dilarang mencela hujan atau angin. Tetapi disarankan supaya kita berdoa yang baik-baik sebagainya apa yang dibuat oleh Rasulullah s.a.w. berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. Dari Aisyah r.ha,

“Baginda s.a.w. tatkala melihat hujan turun Baginda mengucapkan Allahumma shoyyiban nafia’an’ (Ya Allah! Turunkanlah hujan yang bermanfaat (untuk manusia, tanaman dan binatang)”.

Rasulullah s.a.w. juga mengambil berkat dari air hujan seperti yang dinyatakan oleh Anas

“Kami bersama Rasulullah s.a.w. pernah kehujanan. Lalu Rasulullah s.a.w. menyingkap bajunya hingga disirami hujan. Kemudian kami mengatakan, “Ya Rasulullah, mengapa engkau melakukan demikian?” Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda “Kerana dia baru sahaja Allah ciptakan” (HR Muslim).

Imam Nawawi dalam syarah Muslim menjelaskan bahawasanya hujan itu rahmat iaitu rahmat yang baru saja diciptakan oleh Allah, maka Nabi s.a.w. bertabaruk (mengambil berkat) dari hujan tersebut.

Kemudian An Nawawi mengatakan, “Dalam hadis ini terdapat dalil bagi ulama syafie, tentang dianjurkan menyingkap sebahagian badan (selain aurat) pada awal turunnya hujan, agar disirami air hujan tersebut.”.

Mustajab doa

Sungguh sangat sayang sekali apabila ramai yang mengetahui bahawa hujan merupakan nikmat dari Allah yang tak terhingga, namun ketika hujan dirasa menganggu aktiviti, timbullah kata-kata celaan dari seorang Muslim seperti

“Aduh! Hujan lagi, hujan lagi, habislah!’

Benar! Kata-kata seperti itu tidak ada manfaatnya sama sekali dan tentu saja masuk dalam catatan amal buruk kerana Allah berfirman

“Tiapa suatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang selalu hadir” (Qaaf:18)

Dr. A. Irwan Santeri juga menegaskan hadis Rasulullah berkenaan jangan mencela angin juga termasuk dalam bab mencela hujan. Sebagaimana Sabda Nabi s.a.w.

“Janganlah engkau mencela angin. Bila engkau melihat sesuatu yang engkau benci, maka katakanlah: Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepadaMu kebaikan angin ini, kebaikan apa yang terkandung di dalamnya dan kebaikan apa yang ia diperintah dengannya. Kami berlindung kepadaMu dari kejelekan dan kejelekan apa yang diutus dengannya.” (HR Tarmizi)

Hal ini juga dapat dilihat dari sabda Nabi lagi seperti yang diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim,

“Manusia menyakiti Aku, dia mencaci maki masa (waktu), padahal aku adalah pemilik dan pengatur masa, Akulah yang menetapkan malam dan siang menjadi silih berganti.”

Tuntas Dr. A. Irwan Santeri, larangan mencela angin seperti yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. itu juga sebenarnya termasuk di dalam kejadian hujan kerana hujan itu sendiri tidak terjadi jika tiada angin. Sebagaimana firman Allah

“Allah mengutuskan angin-angin lalu ia menggerakkan awan lalu membentangkan ia di langit sebagaimana dia kehendaki dan menjadikannya berkelompok, kemudian kamu melihat hujan turun dari celah-celahnya. Maka apabila air hujan turun ke atas orang yang dikehendakinya di kalangan hambaNya maka mereka akan bergembira.”(ar-Rum: 48)

Bahkan kita turut dilarang untuk mendoakan agar hujan berhenti pada saat ia turun. Walau bagaimanapun, ketika hujan turun dengan lebatnya, Dr. A. Irwan Santeri menyatakan Rasulullah s.a.w. sebagai qudwah hasanah kepada kita semua mengajar supaya berdoa kepada Allah agar hujan itu beralih pada tempat yang lain. Ia sebagaimana hadis Nabi s.a.w.  

““Allahumma haawalaina wa laa ‘alaina. Allahumma ‘alal aakami wal jibaali, wazh zhiroobi, wa buthunil awdiyati, wa manaabitisy syajari (Ya Allah turunkanlah hujan di sekitar kami, bukan untuk merosakkan kami. Ya Allah, turunkanlah hujan di dataran tiggi, gunung-ganang, bukit bukau, tasik lembah dan tempat tumbuhnya pokok-pokok).” (HR Bukhari).

Ibnul Qayyim mengatakan, ketika hujan semakin lebat, para sahabat meminta pada Nabi s.a.w. supaya berdo’a agar cuaca kembali menjadi cerah. Akhirnya beliau membaca doa di atas. Dan Syeikh Sholih As Sadlan mengatakan bahawa doa di atas dibaca ketika hujan semakin lebat atau khuatir hujan akan membawa kesan bahaya.

Bahkan Nabi sendiri pernah risau dengan keadaan hujan sebagaimana yang diceritakan oleh Aisyah r.ha,

“Jika Rasulullah s.a.w. menjumpai angin kencang dan ada awan, maka terlihat khuatir pada raut wajah beliau. (Perasaan itu akan terus) datang dan pergi (dari diri belliau). Namun jika telah turun hujan, maka beliau akan merasa senang. Dan perasaan khuatir itu pun akan hilang dari diri beliau.” Aisyah kembali berkata,

“Lantas aku bertanya kepadanya mengenai hal tersebut. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya aku khuatir kalau azab akan ditimpakan kepada umatku”. Dan apabila beliau menyaksikan hujan, maka akan berkata “(Inilah) rahmat)” (HR Imam Muslim).

_______________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare