Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

TITAH Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar umat Melayu di negeri itu bersatu dan bekerjasama erat adalah selaras dengan perintah Allah SWT.

Sambil menjunjung kasih titah baginda, Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, titah Tuanku itu juga menjadi cita-cita seluruh umat Islam di negara ini, khususnya di negeri tersebut.

‘’Sesungguhnya titah Tuanku agar umat Islam terus merapatkan saf, melupakan sengketa dan perselisihan faham dan mula memikirkan untuk bangkit semula menjadi bangsa kuat, bermaruah dan bermatlamat demi kepentingan agama, bangsa dan negara akan dijunjung dan diperjuangkan oleh Pas Selangor sehinggalah ia menjadi realiti,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketika merasmikan Masjid Raja Lumu Pekan Kuala Selangor, semalam, Sultan Sharafuddin bertitah, perbalahan dan pertelingkahan secara terbuka dan tabiat ‘baling batu sembunyi tangan’ sesama kaum Melayu hanya melemahkan dan mengakibatkan perpecahan yang merugikan bangsa dan agama.

“Perpaduan dalam kalangan kaum Melayu amat penting dan perlu dipelihara demi masa depan serta generasi pada masa depan. Perpaduan adalah asas kepada pembangunan sesebuah negara dan umat yang berpecah akan membawa kehancuran,” titah baginda.

Baginda juga menegaskan kaum Melayu beragama Islam perlu sentiasa merujuk kepada ajaran agama dalam setiap tindak-tanduk dan kehidupan harian.

“Nilai murni perlu diterapkan seperti bersikap jujur dan ikhlas serta mempunyai sifat berbaik sangka, tolong menolong, bersatu-padu, bertolak ansur dan sentiasa memaafkan antara satu sama lain,’’ titah baginda.

Dalam kenyataan itu juga, Dr. Ahmad Yunus berkata, keprihatinan dalam menitikberatkan agenda penyatuan ummah mencerminkan betapa baginda sangat memahami dan prihatin akan kemahuan serta kehendak rakyat khususnya umat Melayu di Selangor.