Meletakkan kasih sayang sebagai asas dalam perjuangan membantu pelajarnya, jelas Datuk Faridah Hanim Haron atau lebih dikenali dengan Ibu Hanim bukan keuntungan semata yang mahu diraih tetapi bagaimana ilmu yang dimiliki akan terus membantu usahawan di luar sana.
Bukan sekadar jual air liur, Ibu Hanim menjelaskan salah faham masyarakat antara mentor dan ‘coach’. Ulasnya, kepakaran seseorang dalam membantu usahawan berjaya tidak mewajibkannya mempunyai perniagaan sendiri.
“Jika kita lihat bagaimana McKinsey membantu Petronas mencapai billion dollar setahun namun McKinsey tiada perniagaan. Kepakarannya membantu syarikat lain, itulah perniagannya.
“Mentor adalah seseorang yang memberi inspirasi kepada usahawan, namun coach akan memberi ilmu, formula dan rahsia. Orang di Malaysia keliru dan tidak tahu beza antara mentor dan coach. Kenapa dia mengajar ‘business’ namun dia sendiri tiada ‘business’.
“Coach adalah orang yang tahu ‘skill’. Mereka akan mengajar sehingga usahawan ini berjaya. Sama juga seperti coach bola sepak. Dia bukan pemain bola yang hebat namun dia tahu trick dan teknik saintifik untuk jadikan seseorang pemain itu hebat,” ulasnya kepada media.

Dalam pada itu, Ibu Hanim melalui Annems Leadership Solution Sdn Bhd turut menjelaskan fokusnya kini untuk mencungkil lebih ramai usahawan tempatan terutamanya golongan bumiputera untuk memberikan pendedahan ilmu Pembangunan Organisasi serta Kepimpinan yang tepat.
“Puluhan tahun dalam bidang korporat membawa saya melihat bagaimana banyak jenama anak tempatan kita tidak bertahan lama. Benar saya boleh berpeluk tubuh dan meneruskan kehidupan yang selesa tanpa bersusah payah. Tetapi hati seorang ibu ini berbeza, saya anggap usahawan ini seperti anak-anak saya. Jadi apa yang boleh diberikan adalah ilmu Pembangunan Organisasi serta Kepimpinan untuk memantapkan lagi perniagaan.
“Kesilapan bermula bila ada yang melihat perniagaan ini hanya ‘marketing’. Sebenarnya ilmu perniagaan itu terlalu luas dan melalui penguasaan ilmu ini mampu membantu mereka memastikan jenama perniagaan itu kekal relevan untuk tempoh masa yang panjang.
Bersama saya pendekatannya berbeza, data yang ada pada setiap syarikat ini akan digunakan untuk mengukur perkembangan dan tahap pemahaman usahawan dalam melaksanakannya,” katanya pada majlis graduasi 121 usahawan Bumiputera yang berjaya mengikuti program Business Sustainability Solution (BSS) baru-baru ini.

Membina nilai kekeluargaan sebagai landasan hubungan, Ibu Hanim cukup selesa menyalur ilmu dengan pendekatan seorang ibu. Jelasnya bukan keuntungan yang menjadi fokus utama tetapi bagaimana ilmu yang dimilikinya ini mampu sampai dengan baik sekaligus menjadi sebab untuk ilmu ini diturunkan melalui anak-anak muridnya kelak.
“Manusia yang berjaya adalah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain dan saya mahu ini difahami mereka. Saya tidak lihat bagaimana ilmu yang ingin disampaikan ini boleh dilakukan secara besar-besarkan dan sebab itu dalam setiap batch hanya akan terdapat 20 atau 30 syarikat sahaja.
“Saya mahu pastikan fokus yang diberi kepada mereka ini sama rata selain mendalami setiap permasalahan yang membelenggu setiap usahawan ini. Jadi setiap syarikat bukan sahaja mendapat layanan yang sama tetapi dalam masa yang sama saya juga mempunyai waktu untuk memahami dan mencari solusi yang terbaik buat mereka,” katanya.
Terdahulu Annems Leadership Solution Sdn Bhd menerusi program Business Sustainability Solution (BSS) meraikan 121 usahawan bumiputera atas komitmen yang diberikan. Program ke-12 ini melibatkan kumpulan usahawan pada tahap “Growth”, iaitu mereka yang sudah memiliki perusahaan masing-masing dan berhasrat mengukuhkan kedudukan di dalam pasaran.


