MINGGU kelapan Awesome Raja Lawak yang berlangsung Rabu lalu menyaksikan sembilan peserta kembali mendominasi pentas utama.
Masing-masing menunjukkan taring yang hampir dua minggu disimpan selepas memberi ruang kepada ‘abang-abang senior’ mereka merancakkan gelanggang dalam episod istimewa edisi alumni yang dibawakan khas pada minggu lalu.
“Kami di bahagian produksi dapat lihat kesungguhan ke semua peserta mempersembahkan skesta mereka di minggu suku akhir ini. Menerusi tema ‘Spoof / Parodi’, persembahan mereka berjaya membuat studio berderai dengan gelak tawa.
“Kemenangan kumpulan duo, Soda ternyata selayaknya kerana mereka berjaya menggandingkan parodi watak popular anak ahli sihir rekaan novelis tersohor dunia, JK Rowling, Harry Potter dengan program game-show terbitan antarabangsa, Who wants to be a millionaire? dengan cukup kemas sekali.
“Sofwan dan Dani berjaya memenangi hati juri tetap, Khir Rahman, Ayda Jebat dan Saiful Apek dari satu ‘punchline’ ke ‘punchline’ yang lain, seterusnya merekodkan sejumlah 83 peratus markah keseluruhan dan mendapat 3 ‘UP’.
“Kumpulan Sedare yang dianggotai oleh Afea dan AG Hafiz juga tidak kurang hebatnya apabila mengejar rapat di kedudukan kedua dengan markah terkumpul sebanyak 80 peratus. Lakonan mereka yang memparodikan peristiwa serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong ternyata menghiburkan dan watak suami isteri yang dibawa juga dilihat menjadi,” kata Pengarah Unit Kandungan Awesome TV, Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli.
Dalam pada itu, kemenangan berganda juga buat kumpulan Soda apabila diumumkan sebagai pemenang ‘Man of the Match’ untuk minggu ini sekaligus memenangi hadiah imuniti yang mana mereka boleh memilih untuk menggunakannya sendiri atau memberikannya kepada peserta lain bertujuan untuk menyelamatkan mereka daripada sebarang penyingkiran.
“Atas dasar setia kawan dan semangat saingan yang sihat, keputusan Soda untuk menggunakannya ke atas kumpulan duo Se’eh seterusnya menyelamatkan Otton & Muslim daripada tersingkir wajah dipuji.
“Kami berbangga apabila keluarga besar Awesome Raja Lawak ini mempamerkan keakraban dari hari ke hari dan ia terbukti apabila kedua-dua Dani dan Sofwan seikhlas hati membuat keputusan untuk memberi peluang kepada kumpulan Se’eh bersaing dengan mereka di pentas separuh akhir Awesome Raja Lawak pada minggu hadapan,” ujarnya.
Mengulas mengenai dua penyingkiran yang dibuat, Ezzan berkata, kedua-dua peserta, Hanif dan kumpulan Semmat telah memberikan persembahan terbaik.
“Perjalanan mereka di pentas Awesome Raja Lawak mungkin berakhir di sini sahaja namun saya yakin, dengan semangat yang kental, berbekalkan pengalaman dan tunjuk ajar daripada barisan tenaga pengajar serta produksi program realiti komedi ini, dan menerusi platform yang betul, mereka boleh pergi jauh dalam industri seni tanah air, khususnya di arena komedi.
“Potensi yang ada pada mereka perlu diakui dan kami mengucapkan selamat maju jaya kepada Hanif, kumpulan Semmat dan setiap dari mereka yang telah meninggalkan gelanggang Awesome Raja Lawak,” jelasnya.
Berbaki dua minggu sahaja lagi sebelum kita mengetahui siapakah di antara barisan peserta Awesome Raja Lawak yang akan dinobatkan sebagai Juara musim pertama ini seterusnya membawa pulang hadiah kemenangan berupa wang tunai sebanyak RM50,000!
Dua minggu terakhir ini dilihat agak mencabar buat peserta di mana untuk minggu kesembilan ini yang juga merupakan minggu separuh akhir, peserta ditugaskan untuk mempersembahkan dua sketsa bertemakan ‘Seram dan Superhero’.
‘Expectation’ semua terutamanya barisan juri, mentor, pihak produksi mahupun audiens yang sentiasa menyokong dari hari pertama bersiaran adalah amat tinggi.
“Saya juga berbesar hati berkongsi di sini bahawa sehingga hari ini, Awesome Raja Lawak telah merekodkan sejumlah lebih dari 19 juta tontonan, selepas lapan minggu kami bersiaran.
“Saya yakin, momentum tontonan akan terus meningkat terutamanya di dua minggu terakhir kami bersiaran. Nantikan kejutan istimewa yang akan dibawakan pada minggu separuh akhir dan teruskan menyokong Awesome Raja Lawak yang bersiaran secara langsung pada setiap hari Rabu, jam 9.00 malam di Awesome TV, saluran Astro (123) dan MyTV (112) dan siaran ulangan pada setiap Ahad, pukul 6.00 petang,” katanya.