ADA bermacam-macam cara dilakukan orang di seluruh dunia untuk mengenang orang tersayang yang sudah meninggal dunia. Salah satu cara moden yang digunakan ialah dengan mengabdikan abu mayat ke dalam bentuk berlian.

Agak pelik bunyinya, namun menjadikan abu mayat ke dalam bentuk berlian yang juga disebut sebagai ‘cremains’ sebagai tanda kenangan bukanlah benda baru.

Malah, sudah ada beberapa buah syarikat di seluruh dunia yang menawarkan perkhidmatan tersebut. Salah satunya ialah perusahaan dari Switzerland yang dikenali sebagai Algordanza.

Syarikat ini memiliki teknologi pembuatan berlian dengan menggunakan abu mayat manusia, dan mendakwa mereka satu-satunya syarikat seumpamanya yang mengendalikan makmal berlian sendiri untuk cremains.

Algordanza dilaporkan memiliki cawangan di 33 buah negara dan mendakwa telah menjual hampir 1,000 butir permata abu mayat ini hanya pada tahun 2016.

Secara dasarnya, belian terbentuk secara semula jadi ketika karbon dipanaskan dengan suhu mencapai 1,204 darjah Celsius, jauh di bawah permukaan bumi. Hablur itu kemudian mengalami proses penyejukan seterusnya dimampatkan sehingga membentuk butiran batu permata.

Dengan meniru proses  itu, pengusaha syarikat ini, Rinaldo Willy, kemudian mencipta sebuah mesin menghasilkan berlian sintetik. Bahan dasar yang digunakan pula ialah abu mayat manusia.

Menurut sains, tubuh manusia umumnya mengandungi lebih kurang 20 peratus karbon. Ketika pembakaran mayat, proses ini biasanya akan meninggalkan sekitar 2.27 hingga 4.53 kilogram abu yang mana kebanyakannya ialah karbon. Pendek kata, dalam abu mayat tetap ada satu hingga lima peratus karbon.

Willy yakin bahawa pembuatan berlian boleh dilakukan dengan hanya menggunakan abu mayat manusia. Untuk menghasilkan berlian, mereka hanya memerlukan sekurang-kurangnya 0.45 kilogram abu mayat.

Selepas menerima abu daripada pelanggan, seorang juruteknik akan meletakkan sampel ke dalam ketuhar khas bagi melihat apakah ada karbon yang cukup untuk membentuk berlian. Sekiranya jumlah karbon mencukupi, unsur itu akan di ekstrak dan dibersihkan dari bahan cemar.

Kata Willy, mereka biasanya menggunakan bahan kimia berasid untuk menghilangkan kotoran pada abu mayat. Melalui kaedah itu, sebanyak 99 peratus bahan cemar dalam abu mayat dapat dibersihkan. Manakala satu peratus kotoran lagi masih kekal di dalamnya, iaitu dipanggil boron.

Boron juga mengandungi unsur nutrien yang dapat membantu meningkatkan kesihatan manusia terutama dalam proses pertumbuhan tulang, menyembuhkan luka dan mengawal sistem imunisasi.

Kata Willy, boron dalam abu mayat manusia telah menyebabkan berlian berubah menjadi biru. Dengan kata lain, semakin banyak boron, semakin pekat warna biru yang terhasil.

Bagaimanapun, agak mustahil untuk meramalkan warna yang muncul pada batu permata ini kerana setiap abu mayat boleh menghasilkan berlian yang berbeza-beza daripada segi kejelasan, ukuran dan warna batu.

Selepas proses pembersihan dilakukan, mereka akan membungkus abu ke dalam sel yang mengandungi bahan tambahan seperti besi dan kobalt, seterusnya dileburkan pada suhu 1,300 darjah Celsius. Bahan lebur itu kemudian dimampatkan di bawah tekanan 50,0000 kg sehingga membentuk kristal berlian.

Proses ini boleh memakan masa selama berminggu-minggu hingga ada kalanya berbulan-bulan, bergantung pada berapa besar berlian yang pelanggan mahukan. Ini bererti, semakin besar berlian yang diingini, semakin lama masa untuk menanti grafit berkembang menjadi kristal.

Apabila sudah cukup masa, iaitu sekitar enam hingga lapan minggu, juruteknik akan mengeluarkan grafit dan memecahkannya. Sesetengah pelanggan inginkan permata yang kasar. Namun, ramai juga yang memilih untuk memotong berlian memorial dan digilap oleh tukang emas untuk dijadikan barang perhiasan seperti cincin.

Willy berkata, pelanggan biasanya menempah berlian memorial dengan berat purata kira-kira 0.4 hingga 0.5 karat. Kos untuk setiap berat berlian itu dianggarkan sekitar USD5,000 hingga USD22,000. Harga tersebut dikatakan 40 peratus jauh lebih murah daripada berlian asli.

Walaupun idea itu dianggap pelik, namun ia mendapat permintaan tinggi. Mungkin bagi sesetengah orang, menukar abu mayat ke dalam bentuk batu perhiasan begini adalah cara untuk mereka mengenang orang tersayang yang telah meninggal dunia.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram