Marion Marguerite Stokes, seorang pustakawan dan aktivis hak asasi manusia dari Philadelphia, Amerika Syarikat. Wanita ini pernah bekerja selama 20 tahun di perpustakaan Philadelphia sebelum dipecat kerana pembabitannya dalam parti komunis sekitar tahun 1960-an. Komennya berkaitan politik juga membuat wanita ini sering menjadi perhatian kerajaan.
Namun, bukan pandangan atau perbezaan politik hendak diceritakan di sini. Apa yang menarik tentang Marion ialah kesungguhannya untuk merakam pelbagai program siaran televisyen sejak hampir empat dekad yang lalu.

Kegiatannya sebagai seorang aktivis dan perlukan banyak informasi semasa telah mendorong Marion untuk mula merakam pelbagai rancangan TV sejak tahun 1977.
Hanya menggunakan perakam video, dia mula merakam liputan berita, dokumentari dan sitkom di kaca TV. Jika berlaku sesuatu peristiwa besar, Marion akan memastikan dia merakam segala jenis berita tentang kejadian itu sepenuh masa.
Tatkala orang menganggap apa yang dilakukannya itu hanya membuang masa, Marion mempunyai pandangan berbeza. Dia tahu segala yang dirakamnya itu akan menjadi sesuatu yang berharga di masa akan datang.
Apabila berkahwin dengan suami keduanya yang merupakan seorang penerbit rancangan, Marion semakin rancak merakamkan bermacam-macam siaran TV. Bahkan, dia merakam saluran berita CNN tanpa henti, 24 jam sehari. Bukan hanya satu saluran, malah ia merakamkan pelbagai rancangan pada lapan alat perakamnya serentak.
Wanita ini juga seorang yang bijak. Apabila zaman semakin maju dengan teknologi, Marion kemudian melabur dalam syarikat Apple Inc, malah berjaya meyakinkan ahli keluarganya untuk turut sama melabur. Hasilnya, mereka mendapat keuntungan besar daripada pelaburan itu.
Walaupun sudah berjaya dan menikmati keuntungan, Marion masih kekal dengan projek rakamannya. Dia tidak pernah lupa untuk menukar pita rakamannya setiap hari supaya tidak terhenti untuk merakam apa saja berita dan rancangan di kaca TV. Jika dia tidak sempat menukarnya, dia akan memastikan suami atau ahli keluarganya untuk melakukannya. Apabila usianya semakin bertambah dan tidak lagi kuat seperti sebelumnya, Marion mengupah pembantu untuk memastikan kerja-kerja rakaman itu berjalan tanpa henti.


Disebabkan pita rakamannya terlalu banyak setelah puluhan tahun merakam, Marion membeli sembilan buah pangsapuri yang hanya digunakan untuk menyimpan semua pita rakamannya.
Sehingga wanita ini menghembuskan nafas terakhir pada 14 Disember 2012 ketika berusia 83 tahun, dia tidak pernah berhenti merakam sejak bermula tahun 1975 dahulu. Setelah Marion meninggal dunia, segala pita rakamannya itu diwariskan kepada anak lelakinya, Michael Metelits.
Bagi kebanyakan orang, apa yang dilakukan Marion mungkin perkara sia-sia. Namun, sebenarnya itulah yang membawa kesenangan kepada kehidupan wanita ini.
Malah, Marion merupakan ‘perpustakaan’ terbesar untuk mendapatkan salinan berita-berita terdahulu. Bahkan, saluran TV sendiri tidak mempunyai simpanan rancangan mereka sebesar seperti yang dilakukan Marion, yang merakamkan lebih kurang sepanjang 400 ribu jam hanya untuk siaran berita sepanjang 35 tahun.

Bayangkan, betapa berharganya segala rakaman yang disimpan Marion. Sehingga ke hujung hayatnya, Marion mempunyai 71,716 buah pita rakaman, menjadikannya pemilik siaran rakaman terbesar ketika ini. Bahkan, ada di antara kebanyakan berita dalam rakaman itu adalah satu-satunya salinan yang masih wujud pada masa sekarang.
Selepas Marion tiada, anaknya telah mendermakan kesemua pita rakaman itu kepada Internet Archive di San Francisco yang kemudian menukarkan rakaman itu ke dalam bentuk digital.
Dengan usaha wanita ini juga, pelbagai berita dan rancangan lama zaman dahulu masih mampu disaksikan semula. Apa yang diusahakan Marion turut diceritakan dalam sebuah dokumentari berjudul Recorder : The Marion Stokes Project.



____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram