“Ilmu kaji nama dan tarikh lahir adalah ilmu sesat” Sejauhmana kebenarannya

Dari Penulis

Dikatakan ilmu huruf di dalam tasawuf berkait rapat dengan isyarat-isyarat dan makna-makna huruf yang manifestasinya amat mendalam. Selain itu ada juga yang mengaitkan ilmu mengkaji tarikh lahir dan rahsia nama kepada ilmu tasawuf kerana didakwa bahawa ulama tasawuf yang banyak mempelopori bidang ini yang disebut Al-Hikmah.

Sejauh mana kebenarannya? Adakah ia memang datang dari tasawuf itu sendiri atau berlaku asimilasi dari kepercayaan lain.

Untuk menjelaskannya, Pensyarah Jabatan Bahasa Arab, IPGM Kampus Pendidikan Islam Bangi, Md. Zuraini Mashrom, memulakannya dengan sedikit penerangan mengenai tasawuf. Katanya di dalam Islam secara umumnya ajaran Islam itu oleh dibahagikan ilmunya kepada akidah, syariat dan akhlak.

Akidah adalah berkaitan tentang kepercayaan manakala syariat adalah amalan dan akhlak itu pula berkaitan dengan adab mengamalkan sesuatu amalan. Makanya tasawuf itu terletak pada kategori yang ketiga iaitu akhlak. Itu dari sudut disiplin ilmu, dibahagikan kepada tiga. Manakala dari sudut disiplin amal, kena lakukan ketiga-tiganya sekali atau serentak. Tidak boleh ada akidah tanpa akhlak begitu juga tidak boleh ada syariat tanpa akidah.  

Begitu juga di dalam melakukan ibadat juga tidak boleh diamalkan tanpa adanya tasawuf kerana ia tidak sampai ke peringkat ihsan. Sebagaimana yang disebut di dalam hadis nabi tentang ihsan. Apabila ditanya oleh Jibril tentang ihsan, Rasulullah s.a.w bersabda,

“Ihsan ialah menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Sekalipun engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihatmu.”

Di dalam kehidupan hari ini kita melupakan tentang ihsan. Jika kita solat di situlah syariat, akidah dan akhlak ia berjalan serentak, tetapi apabila belajar disiplin ilmu itu dipisahkan. Di dalam soal ibadat ketiga-tiganya tidak boleh dipisahkan. Jika dipisahkan maka tidak akan tercapai tujuan ibadat seperti yang disebut di dalam hadis tadi.

Bukan ilmu tasawuf?

Sekarang masuk pula tentang ilmu kaji tarikh lahir dan rahsia nama yang dikatakan sebahagian daripada ilmu tasawuf. Ia tidak betul, ia bukan satu disiplin di dalam ilmu tasawuf. Cuma mungkin ada pengamal tasawuf mengaitkan keserupaan ilmu itu dengan tasawuf dan akhirnya ia dipercayai ia sebagai sebahagian tasawuf.

Jelasnya, tasawuf adalah melihat hakikat. Dalam masa untuk mencapai hakikat ia perlu melalui syariat yang dipandu jalannya oleh Rasulullah s.a.w. Syariat itu pula adalah apa yang kita boleh dilakukan dan tidak boleh, melakukan apa yang disuruh dan tinggalkan yang dilarang. 

Hati-hati apabila menuntut ilmu

Dalam ilmu mengenal huruf itu mungkin ada orang yang mengatakan ia adalah ilmu hikmah. Menyentuh hal itu pula, Zuraini, enggan mengatakan ia betul atau tidak. Kemudian dia menimbulkan pula persoalan adakah untuk mencapai Al-hikmah itu dibenarkan dan cara sebegitu? Ketika itulah syariat memandu untuk menentukan bahawa ia salah atau betul.

 “Apa yang akan saya katakan nanti mungkin ada pengamal ilmu ini yang tidak akan bersetuju dengan pendapat saya. Secara jelasnya saya melihat ilmu itu berlatarbelakangkan ilmu astrologi iaitu ilmu kaji bintang yang mengaitkan nasib seseorang. Ia juga disebut sebagai horoskop, ilmu seperti itu memang ada sejak zaman Yunani.

“Kita juga boleh lihat disiplin ilmu yang sama berlaku di dalam disiplin astrologi cina. Di dalam kepercayaan mereka ada tahun yang menentukan nasib buruk atau baik. Kemudian kita pergi kepada rahsia huruf dan angka, ia adalah ilmu numerologi. Di sinilah yang menjadi perbahasan. Jika ilmu itu ada kaitan dengan menilik nasib maka di dalam Islam ia adalah sebahagian daripada syirik.

“Namun tidak dinafikan di dalam tasawuf ada satu kelebihan yang dimiliki oleh ulamanya iaitu ilmu firasat. Seperti yang Nabi s.a.w. sebut di dalam sabdanya,

Takutlah (hati- hatilah) dengan firasat orang yang beriman, sesungguhnya dia melihat dengan cahaya ALLAH.”(HR Tirmidzi sanadnya lemah).

“Walaupun sanadnya lemah namun makna dan ertinya tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Banyak hal yang membuktikan bahawa orang yang beriman mampu memandang sesuatu berdasarkan firasatnya kerana ia datangnya dari Allah dan dia diberikan kekuatan untuk mengetahui sesuatu.

“Orang beriman boleh melihat dan mendapat ilham dari Allah. Cuma hal itu nanti yang akan mengelirukan orang yang mengamalkan ilmu huruf ini dan menyamakan firasat itu tadi dengan tilikan. Mereka menggunakan tilikan angka dan huruf untuk mengetahui masa depan sedangkan firasat tidak,” jelasnya yang bergiat aktif menterjemahkan buku-buku tasawuf bahasa Arab.

Di situ juga Zuraini memberi penekanan, perbezaan antara orang alim dengan orang biasa. Menurutnya, orang alim apabila ada sesuatu masalah mereka akan memohon kepada Allah untuk mendapatkan pertolongan.

Di situlah letaknya keimanan, ketakwaan dan kedekatan diri mereka dengan Allah maka Allah berikan pertolongan dalam bentuk firasat. Mereka bukan menggunakan tilikan nombor atau huruf untuk menyelesaikan masalah. Pertolongan Allah di dalam bentuk firasat itulah yang membantu. Wallahu a’lam

_____________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Langkah Proaktif Tabung Haji, Rangka Pelan Musim Hadapan Ketika Operasi 1447H Masih Berjalan

LEMBAGA Tabung Haji (TH) membuktikan komitmennya dalam memperkasakan pengurusan haji negara apabila sudah mula mengorak langkah awal merangka pelan...

More Articles Like This