CALON Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Kuala Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memilih untuk berkempen secara berhemah dan enggan membalas tohmahan yang dilemparkan kepadanya oleh calon lawan yang mendakwa beliau berbelanja mewah sebelum diumum sebagai calon.

Tengku Zafrul yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau enggan bermain politik kotor dan memfokuskan untuk berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) secara sihat.

“Apa-apa tuduhan saya terima sahaja, keutamaan saya adalah untuk bersaing secara sihat dan memfokuskan terhadap pembangunan dan kebajikan penduduk Kuala Selangor,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Hari Keluarga Bandar Puncak Alam di Bandar Puncak Alam di Puncak Alam , hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan beliau berbelanja mewah di Kuala Selangor sebelum dinamakan sebagai calon PRU15 bagi BN.

Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai kempen yang masuk hari kedua Tengku Zafrul berkata kempen beliau mendapat sambutan yang baik daripada warga Kuala Selangor.

“Persoalan itu sesuai dijawab oleh orang Kuala Selangor, saya tidak mahu syok sendiri,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Nov sebagai tarikh pengundian manakala pengundian awal pada 15 Nov.

BERITA BERKAITAN Khairy berjanji lakukan yang terbaik di Sungai Buloh, seperti diramal Tengku Zafrul calon Kuala Selangor

Mengulas isu lain, Tengku Zafrul berkata pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang melibatkan stesen baharu di jajaran Puncak Alam akan dibina di Alam Suria bagaimanapun pihaknya tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai projek berkenaan.

“Maklumat itu ada pada Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), saya sebelum ini hanya mengutarakan cadangan pembinaan stesen ECRL itu selepas menerima permintaan daripada penduduk Puncak Alam dan projek itu diluluskan,” katanya.

Pada Jun lepas, Tengku Zafrul mengumumkan sebuah stesen ECRL akan dibina di Puncak Alam.

ECRL dijangka mula beroperasi pada Januari 2027 membabitkan laluan kereta api sepanjang 665 kilometer (km) di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram