aliff aziz

PELAKON dan penyanyi Aliff Aziz mengakui ada melakukan babak bersentuhan dengan aktres Nad Zainal menerusi drama Cina Buta.

Menurut Aliff,31, baginya setiap hari adalah proses pembelajaran dan dia sedang memperbaiki diri untuk jadi insan yang baik.

“Kalau perkara itu tak betul, kita tak boleh nak tegakkan benang yang basah. Cuma saya sebagai hamba Allah yang masih lemah, cuba untuk perbaiki diri setiap hari, semampu saya.

“Ia adalah proses belajar termasuklah kita semua. Saya harap tidak menjadi satu sebab untuk semua mula mencaci kerana bagi saya lebih baik kita mendoakan yang baik-baik untuk semua yang terlibat dalam drama Cina Buta. Malah, malaikat akan doakan perkara sama untuk kita.

“Saya tak akan komen perkara ini boleh dilakukan atau sebaliknya. Bab hukum hakam ini kita tak boleh nak ubah mengikut cita rasa kita.

“Jadi saya mohon maaf terlebih dahulu kepada semua yang menonton sekiranya tidak bersetuju. Insyallah, saya akan memperbaiki diri saya,” katanya kepada URTV.

Aliff yang juga suami kepada pelakon dan penyanyi Bella Astillah itu ditemui pada majlis pratonton drama Cina Buta di Sunway Velocity, baru-baru ini.

Sementara itu, Aliff bersyukur kerana mendapat kepercayaan daripada pengarah terkenal Shahrulezad Mohameddin untuk membintangi drama terbaharu arahannya.

Malah, peluang untuk bergandingan dengan Nad Zainal juga adalah satu rezeki kerana sebelum ini dia pernah menyimpan impian untuk berlakon bersama dengan aktres itu.

“Syukur alhamdulillah dapat berlakon di bawah arahan Shahrulezad. Saya rasa bukan saya seorang sahaja yang nak bekerja dengan dia tapi pelakon lain pun dah tentu teringin juga.

“Kali ini, ia rezeki saya. Saya suka cara kerja Shahrulezad sebab dia profesional dan pada masa sama tetap bagi peluang pada pelakon untuk beri idea sendiri ketika penggambaran bermula.

“Pengalaman berlakon dengan Nad memang best. Walaupun pada awalnya saya ada rasa sedikit gementar sebab kita semua tahu dia seorang pelakon yang disegani.

“Saya kira bila dapat berlakon bersama dengan dia, ia adalah antara impian saya yang dah tertunai,” jelasnya.

Cina Buta bakal ditayangkan mulai 23 November ini, di slot Mega Drama, Astro Ria (104), setiap Isnin hingga Khamis, pukul 10 malam.

Selain Aliff dan Nad, drama ini turut dibintangi Ungku Ismail, Azhan Rani, Didie Alias, Puteri Aishah, Aman Aziz dan ramai lagi.