JARAK perjalanan empat jam dari Port Dickson ke Sabak Bernam tidak menghalang calon Parlimen Port Dickson, Dr. Ahmad Idham Nadzri meluangkan masa bersama sahabat baiknya, Datuk Seri Eizlan Yusof yang bertanding di P.092 Parlimen Sabak Bernam.

Pengarah filem Mat Motor Otai itu berkata, apatah lagi melihat usaha Eizlan mengenalpasti beberapa isu berbangkit di sini sejak beberapa hari lalu, dia terpanggil untuk memberi sokongan.

“Saya mengikuti perkembangannya di sini, melihat dari sudut tempat-tempat yang dia pergi, isu-isu yang dengari dan santuni, sehingga ada yang tular di media sosial.

“Kami ini Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan bergerak di dalam Gerakan Tanah Air (GTA) menggunakan logo Pejuang di bawah komponen NGO, Gagasan Bangsa. 

“Jiwa kami, jiwa NGO. Kami kenal pasti masalah, selesaikan masalah, bukan buat ‘show’!,” kata Ahmad Idham.

Ramai maklum, Ahmad Idham mempunyai produk berupa Hab Pendidikan Khas yang juga satu pergerakan NGO di bawahnya.

Salah satu perkara yang dimaklumkan kepada Eizlan, sekiranya Parlimen Sabak Bernam dimenangi Eizlan, Ahmad Idham tidak teragak-agak untuk membuka Hab Pendidikan Khas di sini. 

“Itu janji saya pada Eizlan sebab kami membesar bersama-sama dan dia faham anak-anak istimewa.

“Oleh itu, jika masyarakat di sini mahu sebuah Hab Pendidikan Khas untuk anak-anak istimewa, saya rasa mereka tahu siapa yang patut mereka undi,” ujarnya.

Selain itu, Ahmad Idham turut terpanggil ke sini selepas perkongsian Eizlan yang tular di media sosial mengenai isu capaian internet yang menjadi salah satu isu besar di Sabak Bernam.

“Saya terkejut juga pada 2022, capaian internet masih bermasalah di Sabak Bernam.

“Seperti sedia maklum, saya pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, jadi salah satu agensi yang pernah bersama saya adalah SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia), jadi saya tahu kerja mereka,” ujarnya.

Pada pertemuan hampir tiga jam itu, Ahmad Idham dan Eizlan sempat bertukar pandangan mengenai perancangan, misi dan visi masing-masing untuk parlimen bakal diwakili mereka sekiranya di beri mandat pada PRU15 pada 19 November ini.

KREDIT FOTO: Syamsah Photography