PERNAH menjadi antara nama paling hangat dengan kisah kontroversi yang mencetuskan pelbagai reaksi, penyanyi dan pelakon Aliff Aziz kini tampil dengan semangat baharu.
Aliff atau nama lengkapnya Mohammad Aliff Aziz,34, memilih untuk berdamai dengan masa lalu dan memberi tumpuan kepada perjalanan hidup yang lebih positif.
Selepas lama menyepi, Aliff mengakui dia kini dalam proses memperbaiki diri dan mencari ketenangan, selain mahu meninggalkan semua kisah silam yang pernah menjadi beban dalam hidupnya.
“Saya banyak luangkan masa bersama keluarga dan lebih banyak bermuhasabah. Tak ada gunanya saya toleh ke belakang kerana semua itu sudah pun berlaku.
“Sekarang masa untuk melangkah ke hadapan lebih-lebih lagi kita bakal masuk 2026.
“Saya sudah buat beberapa perancangan untuk tahun depan. Apa yang penting sekarang ialah saya mahu terus memperbaiki diri dan fokus pada perkara yang membawa kebaikan.
“Saya percaya setiap orang ada perjalanan masing-masing. Apa yang penting, saya teruskan hidup dan belajar daripada setiap kesilapan,” katanya kepada URTV.
Aliff berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media Havoc Trio Fest 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Pada masa sama, pelantun lagu Sayang Sayang itu menafikan dia sengaja menjauh daripada dunia hiburan, sebaliknya memilih untuk bekerja dalam diam dan hanya muncul apabila benar-benar bersedia.
“Saya masih aktif menyanyi di Malaysia dan Singapura. Saya percaya kepada rezeki dan apa yang sudah disusun untuk saya pada masa akan datang.
“Kalau asyik fikir apa yang akan jadi pada masa depan termasuklah rezeki, nanti diri kita pula yang akan tertekan. Saya percaya rezeki ada di mana-mana saja.
“Cuma kali ini saya lebih selektif dan tak mahu terlalu terbuka tentang hal peribadi. Bila terlalu banyak bercakap, orang mudah salah tafsir,” ujarnya.
Ketika diajukan soalan tentang hubungannya dengan anak-anak, Aliff enggan mengulas lanjut dan menganggap perkara itu terlalu sensitif untuk dikongsikan secara terbuka.
“Saya harap semua faham, ada benda yang lebih baik disimpan.
“Kadang niat kita nak jawab baik, tapi lain pula yang orang tafsir,” tambahnya.
Untuk rekod, nama Aliff pernah menjadi perhatian selepas dia dan pelakon Ruhainies ditahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada 9 Mac 2024 atas tuduhan berkhalwat di sebuah kondominium di ibu negara.
Mereka kemudian mengaku bersalah dan masing-masing didenda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan pada Februari lalu.
Aliff sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan penyanyi Bella Astillah pada 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ayden Adrean, 8, dan Ara Adreanna, 5.
Namun, pasangan itu bercerai talak satu pada 13 Jun 2024 di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.
Kini, Aliff memilih untuk meneruskan kehidupan dengan lebih tenang dan tidak lagi mahu menoleh ke belakang.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

