Proses pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kawasan dilanda banjir di Parlimen Baram berjalan mengikut jadual walaupun beberapa pusat mengundi terpaksa dipindahkan selepas dinaiki air. 

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Azman Ahmad Sapri berkata Ketua Polis Daerah Marudi DSP Mohd Ruslan Mat Kib yang bertanggung jawab untuk kawasan Baram melaporkan, polis berkolaborasi dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan proses pengundian PRU15 di bahagian itu berjalan lancar. 

“Sehingga kini saya tidak menerima sebarang (laporan) permasalahan (namun), kita akan sentiasa kemas kini (perkembangan terkini). Nanti petang kita akan keluarkan (kenyataan) selepas proses pengundian tutup (selesai),” katanya kepada media semasa meninjau proses pengundian di Sekolah Kebangsaan Merpati Jepang di Kuching hari ini. 

Semalam, media tempatan melaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membuat keputusan sama ada pengundian di Parlimen Baram diteruskan hari ini atau ditangguhkan selepas cuaca buruk menghalang usaha menghantar petugas pilihan raya ke 24 daripada 194 pusat mengundi di kawasan parlimen itu.

Baca artikel : PRU-15: 20 peratus keluar mengundi setakat 10 pagi – SPR

Sementara itu di MIRI, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau ketika dihubungi Bernama berkata pusat-pusat pengundian PRU15 di sekitar kawasan itu telah dibuka bagi membolehkan proses pengundian bagi Parlimen Baram berjalan seperti dirancang.

“Pengundian berjalan seperti biasa di kawasan saya, saya tidak pasti bagi kawasan lain di Baram bagaimana (keadaannya),” katanya ketika dihubungi Bernama pagi ini.

Sementara itu, Ketua Pemuda Parti Demokratik Progresif (PDP) David Yeo yang berada di kawasan Long Lama ketika dihubungi turut mengesahkan proses pengundian di kawasan berkenaan sedang berjalan seperti biasa.

Parlimen Baram menyaksikan pertandingan antara penyandang Datuk Anyi Ngau yang mewakili GPS, Roland Engan daripada Pakatan Harapan dan Wilfred Entika Rebai iaitu calon bebas.

Sementara itu Mohamad Azman berkata polis telah mengeluarkan 3,108 permit sepanjang tempoh kempen PRU15, yang berakhir sebelum tengah malam tadi. 

“Sebanyak 72 laporan polis dan 25 kertas siasatan telah dibuka dengan lapan tangkapan dibuat atas pelbagai kesalahan pilihan raya dan tangkapan ini tidak melibatkan mana-mana calon,” katanya. 

— BERNAMA 

Saturday , 19 November 2022

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram