PRAMUGARA Malaysia Airlines, Hafeez Al-Bukhary Zulkefly yang terkenal dengan perkongsian berkaitan kerjayanya termasuk pengalaman mengendalikan penumpang serta jemaah haji, meninggal dunia selepas bertarung dengan kanser kolon tahap empat.
Perkara itu dimaklumkan penyanyi yang juga bekas pramugara, Zarul Umbrella menerusi hantaran di Threads.
“Selamat jalan sahabat. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat keatas rohmu, menempatkanmu di kalangan hamba-hambaNya yang beriman. Al-Fatihah,” katanya.
Zarul yang mengendalikan program audio siar Borak Dalam Galley pernah menemu bual Hafeez yang turut terkenal dengan perkongsian-perkongsian perjalanan di Tanah Suci menerusi akaun media sosial.
Dalam pada itu sepupu arwah, Hani Mishan menerusi hantaran di Threads turut memaklumkan perkhabaran dukacita atas pemergian Hafeez.
“Dengan penuh rasa dukacita dimaklumkan bahawa Hafeez telah kembali ke rahmatullah. Al-Fatihah. Semoga Allah SWT mengampuni segala dosanya, melapangkan kuburnya, dan mengurniakannya syurga Firdaus. Amin,” tulisnya.
Difahamkan, Hafeez, 42, menghidap kanser kolon tahap empat ketika mendedahkan perkara itu pada 27 Ogos tahun lalu.

