Muhammad Sanusi Md Noor./ Gambar fail FB UPDA

MENTERI Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor percaya negeri itu tidak akan dipinggirkan oleh kerajaan Persekutuan walaupun Perikatan Nasional (PN) menjadi pembangkang di peringkat Pusat.

Menurut beliau, landskap politik semasa, sistem demokrasi dan konsep federalisme yang diamalkan di negara ini ‘tidak mengizinkan’ kerajaan Persekutuan meminggirkan kerajaan negeri.

“Saya rasa dalam sistem federalisme, semua negeri ada hak yang sama, persekutuan dan negeri akan terus menjalinkan kerjasama di bawah sistem itu, saya rasa tidak ada masalah apa, sikit pun tidak ada masalah.

Saya rasa dunia politik, demokrasi sekarang ini sudah tidak mengizinkan perkara seperti itu (kerajaan Persekutuan meminggirkan kerajaan negeri), kalau gagah pi dok buat juga, cari nahas,” katanya kepada pemberita hari ini.

Baca artikel lain: Tidak sertai kerajaan diterajui PH, PN ambil pendirian jadi pembangkang berwibawa

Beliau ditanya mengenai harapan Kedah terhadap kerajaan perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat Persekutuan.

Semalam, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata gabungan itu kekal dengan pendirian untuk tidak menyertai kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) dan mahu menjadi pembangkang berwibawa di Parlimen.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Parlimen Padang Serai, Muhammad Sanusi berkata walaupun Perdana Menteri telah dilantik, pilihan raya itu dilihat masih penting dalam menentukan sokongan pengundi dan pihaknya yakin PN akan beroleh kemenangan mudah di situ.

Terdahulu, Muhammad Sanusi melancarkan Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik serta Sambutan 100 Tahun Penubuhan Sekolah Kebangsaan Sultanah Asma di sini.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram