AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Pahang buat penggal kedua sehingga tempoh yang diperkenankan.
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang itu berlangsung di hadapan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Balairung Seri Istana Abu Bakar di Pekan, Pahang.
Turut berangkat Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Al-Sultan Abdullah. Hadir sama Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.
Wan Rosdy yang merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang dipilih untuk menerajui pentadbiran negeri Pahang kali pertama pada 15 Mei 2018 bagi menggantikan Menteri Besar Pahang Tan Sri Adnan Yaakob.
Baca artikel berkaitan: Tengku Hassanal perkenan PH, BN bentuk kerajaan, Wan Rosdy kekal MB Pahang
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Wan Rosdy yang juga Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai buat penggal kelima dengan majoriti 6,983 undi.
Pelantikan Wan Rosdy mendapat perkenan daripada Tengku Hassanal, yang turut berkenan dengan pembentukan kerajaan negeri daripada BN dan Pakatan Harapan (PH), selepas tiada parti memperoleh majoriti mudah 22 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri selepas PRU15.
Pada pilihan raya itu, BN memperoleh 16 kerusi, kurang satu berbanding Perikatan Nasional (PN) manakala PH memenangi lapan kerusi.
Terdapat 42 kerusi di DUN Pahang, namun pengundian bagi DUN Tioman ditangguhkan ke 7 Dis ini, ekoran kematian calon PN Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian 19 Nov lepas, dipercayai akibat serangan jantung.
Namun, keputusan DUN Tioman itu kelak, juga tidak membolehkan mana-mana parti mendapat majoriti mudah.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

