NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail membidas kenyataan Penasihat DAP, Lim Guan Eng berhubung hubungan parti itu dengan Kerajaan Perpaduan.
Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata, beliau melihat kenyataan Guan Eng bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai rakan yang tidak boleh dipercayai dalam Kerajaan Perpaduan adalah tidak berasas.
Katanya, kenyataan sedemikian tidak membantu, malah boleh mengeruhkan keadaan ketika pimpinan BN dan Pakatan Harapan (PH) sedang berusaha mencari penyelesaian terhadap beberapa isu yang timbul kebelakangan ini.
“Saya ingin mengingatkan Guan Eng agar tidak menjadi batu api yang mampu mencetuskan masalah lebih besar.
“Jika beliau mempunyai pandangan negatif terhadap UMNO dan BN, beliau juga perlu memahami bahawa ramai dalam UMNO dan BN mempunyai pandangan yang sama terhadap beliau,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, demi kestabilan politik dan kepentingan rakyat, semua pihak perlu bertindak matang dan profesional.
Katanya, sebagai pemimpin senior, tanggungjawab pemimpin adalah untuk menyatukan dan memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan, bukannya mengeluarkan kenyataan yang boleh merosakkan hubungan antara parti-parti dalam kerajaan.
Tegas beliau, rakyat mahukan kestabilan dan penyelesaian, bukan pertelingkahan politik yang berpanjangan.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

