BAHARU sahaja melabuhkan tirai Raisa Live In Malaysia, jenama penganjur acara Hitman Solutions bersama Happymoon, rakan industri muzik kembali membawakan hiburan berterusan demi memenuhi selera penggemar konsert yang dahagakan persembahan ‘live’.
Hasil kerjasama ini, mereka beralih ke negara barat pula dengan membawakan Ne-Yo Live In Malaysia yang bakal berlangsung pada 21 Januari 2023, pukul 8.00 malam eksklusif di Dewan Plenary KLCC.

“Kita semua membesar dengan lagu-lagu nyanyian Ne-Yo yang begitu dekat di hati serta gerak tarinya yang mengasyikkan dan kini, apabila dia aktif mengadakan siri jelajah konsert, kami tidak mahu melepaskan peluang ini untuk membawa Ne-Yo ke sini setelah konsert terakhirnya di Sunway Lagoon Surf Beach kira-kira 12 tahun yang lalu.
“Pada konsert itu nanti, kami berharap mereka yang lahir pada 1990-an dan 2000 akan hadir kerana Ne-Yo merupakan salah satu artis paling ‘top’ ketika itu.
“Kami juga yakin malam konsert itu nanti akan mengimbau kembali kenangan zaman remaja dan membangkitkan emosi penonton melalui nyanyian lagu-lagu ‘soul’ yang menggamit perasaan dan sinonim dengan Ne-Yo,” ” kata pengasas Happymoon, Kesavan Purusotman.
Bagi mereka yang berminat untuk membeli tiket konsert Ne-Yo Live In Malaysia, tiket-tiket akan mula dijual bermula hari ini yang terbahagi kepada empat kategori utama iaitu VIP (RM988), DIAMOND (RM688), PLATINUM (RM488) serta GOLD (RM288).

Pembelian boleh dilakukan di laman web rasmi www.hitmanlive.com.
Untuk sebarang pertanyaan berhubung konsert tersebut, sila hubungi Keeran D. (Hitman Solutions) di talian 012-887 0669.

