nabila razali

SELEPAS kejayaan lagu Peluang Kedua dan Putus, Nabila Razali kini sekali lagi muncul dengan single berentak balada, Aku Terluka yang merupakan hasil kolaborasi pertama komposer Amylea Azizan dan MFMF.

“Selepas Putus yang dilancarkan pada hari lahir saya tahun lepas, saya kembali dengan lagu baharu yang merupakan kesinambungan kepada lagu Peluang Kedua.

“Saya rasa ada yang perlu saya jelaskan dalam lagu Peluang Kedua dan semuanya ada dalam lagu Aku Terluka ini.

“Saya berharap peminat dan pendengar muzik Malaysia dapat menerima lagu ini seperti lagu-lagu saya yang lain sebelum ini” katanya.

Nabila ditemui pada sidang media lagu Aku Terluka yang diadakan di pejabat Universal Music, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Muzik video (MV) Aku Terluka sudah dilancarkan di saluran YouTube Nabila Razali Entertainment.

Lebih menarik, MV berkenaan sekali lagi menampilkan, pelakon dan penyanyi rap, MK daripada kumpulan K-Clique yang sebelum ini juga pernah berkolaborasi dalam muzik video lagu Peluang Kedua.

Menurut Nabila, pemilihan MK adalah bagi meneruskan jalan cerita untuk lagu Peluang Kedua.

“Saya sengaja memilih MK sekali lagi untuk membintangi MV lagu baharu ini kerana sambutan luar biasa peminat terhadap lagu dan muzik video Peluang Kedua.

“MV Aku Terluka akan menjawab pertanyaan ramai tentang pengakhiran mereka dalam lagu Peluang Kedua itu,” ujarnya.

Single tersebut mengisahkan tentang sebuah percintaan yang tidak kesampaian kerana pemergian sang kekasih buat selamanya.

Tidak ada apa lagi yang mampu dilakukan oleh gadis tersebut selain reda dan teruskan hidup bersama memori percintaan mereka

Aku Terluka merupakan lagu ketiga terbitan Nabila Razali Entertainment yang juga single ketujuh buat dirinya dan diedarkan oleh Universal Music Malaysia.

Single terbabit boleh didengari di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music bermula 7 Disember ini.