Berdasarkan kepada catatan sejarah, manusia mula mengenali cabang astronomi sejak zaman kuno di mana ia telah dicetuskan oleh orang-orang China, Mesopotamia dan Mesir. Ketika itu, topik berkaitan atmosfera belum lagi dibincangkan. Hampir kesemua ilmuwan zaman kuno beranggapan komposisi udara di seluruh cakerawala adalah sama.
Pada pertengahan kurun ke-17, seorang pakar matematik Perancis, Blaise Pascal, menjadi saintis pertama mengutarakan teori kewujudan atmosfera bumi pada tahun 1648. Beliau mendakwa, kepadatan udara akan berkurangan secara menegak sehingga mencapai tahap yang paling minimum, seterusnya akan lupus secara total apabila melepasi sempadan atmosfera.

Teori ini mengaitkan hubungan antara tekanan udara dan faktor ketinggian bergerak secara songsang. Dengan kata lain, komposisi kepadatan udara menjadi semakin rendah apabila kedudukan dari paras laut semakin meningkat. Keadaan ini akan menyebabkan seseorang mengalami kesesakan nafas apabila berada di tempat yang semakin tinggi.
Teori tersebut mendapat tempat dalam dunia sains, sehinggakan tekanan udara diukur dalam unit Pascal. Dari semasa ke semasa, teori ini bertambah kukuh dengan pembuktian daripada kemajuan teknologi yang semakin berkembang maju.

Selain teori Pascal, Al-Quran turut menjadi salah satu sumber terawal yang mengetengahkan konsep lapisan atmosfera dan tekanan udara ini. Kitab suci agama Islam yang diwahyukan pada abad ke-7 itu telah memberi gambaran jelas tentang perkara ini melalui surah Al-An’am, ayat 125, yang menjelaskan hukum tekanan udara yang bergerak secara songsang dengan paras ketinggian.
Firman Allah yang bermaksud, “Barang siapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk (menerima agama) Islam. Dan barang siapa yang dikehendaki akan Allah kesesatan, nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit (untuk menerima Islam), seolah-olah ia sedang mendaki/naik ke langit…” (Al-An’am, ayat 125).
Perkataan ‘mendaki/ naik ke langit’ menjadi kunci yang menunjukkan ayat ini mempunyai unsur saintifik. Daripada perkataan tersebut, dapat dijelaskan bahawa komposisi udara akan berkurangan apabila kedudukan kita berada di suatu lokasi yang lebih tinggi. Perkara ini berlaku disebabkan jumlah tekanan dan oksigen mengalami penurunan sehingga menyebabkan kesempitan pada dada dan berlakunya keadaan sesak nafas – dyspnea.
Dalam sains moden, fakta sains menunjukkan bahawa isi padu atmosfera bumi terdiri daripada sebahagian besar nitrogen, oksigen, argon, karbon dioksida, wap air dan gas-gas lain. Atmosfera tidak mempunyai sempadan yang mendadak, tetapi menipis perlahan-lahan dengan bertambahnya ketinggian. Secara kasar, tekanan tersebut akan berkurangan 100 hPa per kilometer. Justeru, fakta ini mempunyai persamaan dengan apa yang telah dijelaskan di dalam Al-Quran.
Ketika ayat ini diturunkan, manusia masih belum mempunyai pengetahuan yang luas mengenai tekanan udara. Namun, Al-Quran telah pun menjelaskan tentang fenomena ini.

_____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

