Ramai yang memilih untuk menjalankan bisnes secara atas talian atas faktor kos yang jauh lebih rendah. Selain itu, mereka juga bebas mengawal masa untuk berniaga mengikut kesesuaian memandangkan ada yang berniaga secara sambilan. Namun walaupun ramai yang aktif berniaga secara online sejak pandemik melanda, ada beberapa risiko yang perlu diberi perhatian tatkala terlalu ramai scammer, sama ada datang daripada penjual atau pembeli.
Kurang dipercayai
Terdapat kes di mana individu tidak bertanggungjawab mula mengambil kesempatan dengan peluang yang ada. Mereka berselindung sebagai peniaga online dan menipu duit pelanggan. Setelah pembayaran dibuat, ‘peniaga’ ini akan menghilangkan diri. Nombor telefon tidak lagi dapat dihubungi dan laman media sosial mereka lesap!
Berniaga secara online ini memang mudah dimulakan dan ia juga mudah dihapuskan. Situasi ini membuatkan orang mula berhati-hati dengan siapa mereka bakal berurusan dan memilih untuk membeli daripada peniaga yang boleh dipercayai.
Ditipu bakal pelanggan
Ada juga yang mengambil kesempatan ke atas penjual. Pelanggan mengesahkan bayaran dengan menghantar slip palsu. Peniaga yang kurang masa membuat semakan dan percaya dengan resit pembayaran palsu ini terus menghantar tempahan kepada pelanggan.
Barang rosak atau hilang dalam perjalanan
Ini antara risiko yang boleh diambil kira. Barang tempahan yang hilang atau rosak semasa ia dalam perjalanan kepada pembeli. Perkara ini bukan baharu dan biasanya kekerapan lebih tinggi semasa musim perayaan atau jualan hujung tahun.
Ramai jual produk serupa
Ya, dalam perniagaan online, hampir kebanyakan peniaga menjual produk serupa atau hampir sama. Hanya bungkusan sahaja yang berbeza daripada jenama lain. Ini membuatkan kita bersaing untuk mendapatkan pelanggan. Namun, rezeki semuanya ketentuan Allah. Yakin sahaja rezeki kita Allah susunkan.

Penyelesaian
Setiap perkara pasti akan cabaran dan risikonya. Walau bagaimanapun, untuk menjadi peniaga berjaya, apa kata anda fokus terus kepada penyelesaian. Berikut disertakan cara yang boleh diamalkan agar risiko di atas dapat dielakkan.
- Posisikan diri melalui Personal Branding
Lakukan di media sosial untuk mewujudkan kepercayaan bakal pembeli. Apabila pembeli percaya dengan kita, mereka lebih mudah membuat keputusan. Ini juga mewujudkan hubungan baik dalam jangka panjang.
- Kongsikan testimoni pembeli
Orang mudah percaya apabila ada orang lain telah berurusan dengan kita. Jadi kongsikan testimoni. Ia boleh jadi dalam bentuk tulisan atau gambar pelanggan bersama produk.
- Konsisten update media sosial
Rajin-rajinlah update di media sosial tentang bisnes anda. Ini adalah untuk memberi keyakinan pelanggang bahawa bisnes wujud dan boleh dipercayai. Update ini sebaiknya dibuat kerap setiap hari. Lain medium, lagi strategi yang boleh digunakan. Contohnya di Instagram, waktu malam sekitar jam 9 malam lebih ramai pengguna sedang online. Gunakan peluang ini sebaiknya untuk promosikan bisnes anda.
- Wujudkan keunikan bisnes
Setiap peniaga perlu ada keunikan yang boleh memberi identiti kepada jenama atau produk. Tentunya pelanggan suka dan ada sebab untuk memilih anda daripada peniaga lain. Keunikan ini tidak semestinya sesuatu yang sukar. Kadang-kadang benda yang mudah dan kecil dengan sedikit inovasi menjadikan ia stand out!