PROSES pemecatan atau penggantungan ahli UMNO hanya perlu dirujuk kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sahaja.
Sehubungan itu, tindakan parti itu terhadap ahli UMNO dalam mesyuarat MKT pada Jumaat lalu disifatkan sah dan mengikut kepada Perlembagaan parti berkenaan tanpa melanggar peraturan.
Perkara tersebut dimaklumkan Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Isham, proses-proses lain yang melibatkan Lembaga Disiplin UMNO dan sebagainya sebenarnya hanyalah pengurusan dalaman yang dipraktikkan.
Namun begitu, Isham berkata, perkara itu tidak bermakna ahli yang dipecat termasuk Tan Sri Noh Omar dan Khairy Jamaluddin tidak boleh merayu atau berjumpa dengan Lembaga Disiplin untuk membela diri.
“Mereka masih boleh berjumpa dengan Lembaga Disiplin seperti tarikh asal jemputan iaitu 30 Januari atau esok.
“Lembaga Disiplin UMNO bukanlah Mahkamah Persekutuan dan hukuman kepada Tan Sri Noh serta Khairy ini bukanlah hukuman penjara atau hukuman mati.
“Mereka masih boleh membela diri dan merayu beberapa kali. Jika Tan Sri Noh dan Khairy serta yang lain-lain boleh mengalahkan bukti-bukti terhadap mereka yang menunjukkan mereka bersalah, saya percaya Lembaga Disiplin akan membuat keputusan yang seadilnya.
“Namun, saya ingin menasihatkan kepada mereka supaya usahlah mencabar-cabar Lembaga Disiplin atau MKT untuk memecat mereka seperti yang mereka telah lakukan sebelum ini, ia akan memburukkan lagi keadaan dan menunjukkan keangkuhan,” katanya dalam hantaran tersebut.
Baca artikel berkaitan: Ahmad Maslan sahkan KJ, Noh Omar dipecat, Hishammuddin digantung!
Mengulas mengenai isu pemecatan dan penggantungan itu, Isham berkata, beliau dan ahli MKT lain tidak ada dalam Lembaga Disiplin UMNO.
Bagaimanapun, beliau meluahkan keyakinan bahawa Lembaga Disiplin UMNO telah membuat penelitian terhadap laporan dan bukti yang ada sebelum membuat keputusan pada awalnya menggantung Noh dan memecat Khairy serta mengambil tindakan kepada 40 ahli UMNO lain.
Jelasnya, MKT tidak campur tangan dalam proses siasatan dan keputusan Lembaga Disiplin.
Isham berkata, beliau dimaklumkan terdapat 16 laporan atau bukti yang menunjukkan Noh telah melanggar disiplin parti semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.
Mengenai Khairy, Isham menjelaskan tindakan Khairy ‘menghentam’ parti sendiri sewaktu kempen PRU-15 dengan mengatakan UMNO telah sesat memberi kesan negatif kepada parti secara keseluruhan.
“Antara hujah pembelaan dirinya, Noh berkata calon Barisan Nasional (BN) di Tanjong Karang telah kalah sebab penolakan pengundi terhadap UMNO dan bukan kerana sabotaj yang berlaku kepada parti.
“Namun demikian, pandangan saya ialah keputusan kalah atau menang itu bukanlah boleh dijadikan alasan untuk lepas daripada pelanggaran disiplin, sebab jika kita menang pun tetapi ada ahli yang mensabotaj parti maka orang yang mensabotaj tetap bersalah dan perlu diambil tindakan, apakan lagi apabila kita kalah.
“Khairy pula pastinya tahu dia mungkin boleh menang di Sungai Buloh dengan strategi berkenaan tetapi dengan sedikit sebanyak mengorbankan calon-calon UMNO yang bertanding di tempat lain,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

