Kena menyanyi ikut lenggok Hindi, Akira cabar kekuatan vokal Ezad Lazim & Salma Asis

Dari Penulis

DUA penyanyi yang cukup tidak asing memiliki kemerduan suara tersendiri, Ezad Lazim dan Salma Asis tampil dengan lagu duet berjudul Akira.

Berentak hindustan, aura lagu ini lebih terasa apatah lagi kedua mereka memang peminat muzik sebegitu.

Menariknya, lagu Akira ini dihasilkan sebagai runut bunyi (OST) drama bersiri Akira Khan yang diadaptasi daripada karya Siti Rosmizah yang dibintangi oleh pelakon hebat seperti Uqasha Senrose, Kamal Adli, Maria Farida, Isma Daniel, Julia Hana, Idzham Ismail, dan ramai lagi.

Drama tersebut bakal mengisi slot Astro Mega Drama di Astro Ria.

Terharu diberi penghormatan menyanyi OST terbabit, Salma mengakui bukan mudah mendendangkan lagu berentak Hindustan. Dia sebaliknya perlu memperhalusi terutama aspek suara harmoni agar nyanyiannya bersama Ezad saling melengkapi.

“Kekuatan lagu ini adalah lirik dan konsep sebab lagu ini ala-ala hindustan. Keunikannya jugalah yang berjaya membuka hati saya untuk setuju menyanyikannya.

“Cabaran terbesar adalah setarakan suara saya dan Ezad. Sejujurnya pada saya suara Ezad sudah semulajadi merdu dan saya kena merdukan suara supaya nampak harmoni dan serasi dengannya.

“Saya tak boleh nyanyi macam saya lakukan selalu untuk lagu ini. Corak nyanyian saya perlu kena ikut gaya dan mesti kedengaran lenggok Hindustan itu,” katanya.

Berpengalaman luas dalam bidang seni suara, Ezad mengakui penting untuk dia mendalami isi penceritaan drama itu.

Dia bahkan bertanya dengan pengarah Akira Khan iaitu Jamal Khan terlebih dahulu supaya memahami dan dapat menyalurkan isi hati ke dalam lagu terbabit.

“Kebetulan saya sudah tahu mengenai drama ini ketika mereka masih dalam pengambaran. Saya sempat bertanya sinopsisnya pada Jamal dan saya amat tertarik.

“Saya tak sangka rezeki saya bila dipilih untuk menyanyikan lagu ini. Saya terus setuju kerana saya sudah dapat mengambarkan emosi lagu bila disatukan dengan jalan cerita drama ini,” jelasnya.

Ezad juga mengakui cabaran utama adalah untuk mengharmonikan gabungan antaranya dan Salma. Menurutnya, mereka diminta untuk menerapkan sedikit elemen Hindi dalam penghayatan mereka.

“Memandangkan kami berdua bukanlah penyanyi lagu ala Hindi, sudah tentulah ia mengundang sedikit kesulitan. Namun, berkat perbincangan terperinci kami dibantu pula oleh tenaga produksi lain, inilah hasil terbaik dapat kami garapkan.

“Kekuatan lagu ini disokong dengan kekuatan drama itu. Runut bunyi sememangnya amat membantu membawa emosi penceritaan sesebuah drama mahupun filem.

“Di situ, saya lihat ada kekuatan lagu ini diterima oleh mereka yang mendengar mahupun yang menonton drama Akira Khan ini,” katanya.

Menggalas tanggungjawab sebagai komposernya pula, Pjay bersyukur dapat menyiapkan lagu ini dalam tempoh masa kurang seminggu bersama Bael0n.

“Penghasilan lagu agak mencabar sebab kami hanya ada lima hari saja untuk siapkan pembikinannya.

“Itu pun siap berunding lagu. Kalau tak, ada tiga hari saja masa diberi untuk siapkan. Dengan ada Bael0n, dia sangat membantu proses penulisan.

“Alhamdulillah, berjaya juga kami siapkan lagu ini dalam masa yang sangat singkat. Bersyukur juga dapat bekerja dengan penyanyi yang sangat sangat profesional.

“Afif Tirmizie pun banyak membantu waktu rakaman vokal dan lancarkan lagi perjalanan rakaman keseluruhan,” ujarnya.

Lebih mengujakan Pjay, dia akui sudah lama berhasrta untuk dapat bekerja dengan Ezad. Apatah lagi dia
membesar dengan mendengar lagu-lagu nyanyi Ezad serta tahu betapa hebat bakat nyanyian vokalis kumpulan tersohor, Exists itu.

“Bekerja dengan Ezad sangat senang dan mengagumkan saya. Sebab kita dengar suaranya sejak daripada kanak-kanak lagi. Memang tak sangka saya akan berpeluang menghasilkan lagu untuknya.

“Salma pula sangat terbaik bekerja dengannya kerana tidak dinafikan dia antara penyanyi wanita yang memiliki vokal hebat. Apa saja yang kami suruh, semua dia boleh sampaikan. Paling mengagumkan ialah mereka sangat tepati masa ke studio,” katanya.

Akira boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, JOOX Music, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Fajar Noor buka lembaran baharu, Sementara, Selamanya jadi manifestasi kematangan emosi

SETELAH sekian lama dinanti, penyanyi yang sinonim dengan naskhah muzik yang menyentuh jiwa, Fajar Noor akhirnya kembali mengubat rindu...

More Articles Like This