KUMPULAN Exists yang popular dengan lagu Langkah Seiringan dari album sulung berjudul Exist yang diterbitkan pada 1991, ingin mengajak peminat dan orang ramai untuk mengatur langkah bersama mereka menuju ke Tanah Suci. 

Exists yang kini dianggotai oleh Ezad Lazim (vokalis), Along atau Azhrul Nasir (gitar utama), Musa Radhi (bass), Ujang atau Saharudin Saniman (dram) dan Ajai @ Mohd Faizal Maas (keyboard) bakal menunaikan umrah bersama dengan syarikat Darmina Revolution.

Pelawaan daripada Darmina Revolution kira-kira dua bulan lalu, umpama bulan jatuh ke riba kerana anggota Exists tidak menyangka impian untuk menunaikan umrah dimakbulkan Allah. 

Melalui program Umrah Langkah Seiringan Exists, kesemua anggota kumpulan tersebut akan berangkat menunaikan umrah pada 22 Januari hingga 2 Februari 2025 depan.

Ketua Pegawai Operasi Darmina Revolution, Ahmad Fawzy Mohd Hashim menjelaskan, program Umrah Langkah Seiringan Exists adalah satu platform bertujuan untuk memudahkan orang ramai mencari pakej pelancongan luar dan dalam negara serta pakej umrah yang di tawarkan oleh agensi pelancongan di Malaysia.

Jelasnya, melalui Darmina Revolution orang ramai yang ingin menunaikan umrah tidak perlu bersusah payah kerana segala urusan akan dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan. 

“Pihak kami sentiasa berusaha dan memastikan segala urusan jemaah yang berdaftar dengan kami mendapat keselesaan dengan pakej yang dipilih. Pihak kami juga menawarkan harga rendah dan berpatutan agar ramai yang berpeluang untuk menunaikan umrah. 

“Pakej yang ditawarkan dalam platform kami amat berpatutan kerana konsep kami adalah pendaftaran awal akan mendapat harga diskaun 5 hingga 20 peratus mengikut pakej dan kouta yang ditawarkan. Harganya adalah murah berbanding kalau anda membeli atau mendaftar di saat akhir kerana harga yang ditawarkan adalah harga biasa,” katanya.

Selain dari pakej umrah, Darmina Revolution juga ada menawarkan pakej pelancongan seluruh dunia dengan harga berpatutan. 

Sementara itu, Ezad yang sebelum ini pernah menunaikan umrah tidak sangka berpeluang sekali lagi untuk menjejakkan kaki ke Makkah dan Madinah lagi.

Baginya, pelawaan yang ditawarkan oleh Darmina Revolution untuk pergi menunaikan umrah bersama anggota Exists adalah sesuatu yang tidak diduga. 

“Semua orang menyimpan impian untuk menjejak kaki ke Tanah Suci Makkah. Alhamdulillah, pada tahun lepas saya berkesempatan menunaikan umrah bersama isteri, anak-anak dan mentua.

“Tak sangka ada lagi peluang untuk ke sana dan kali ini bersama-sama anggota Exists, sudah pasti suasananya berbeza. Kiranya kali ini lebih istimewa, ibarat pergi dengan adik-beradik kerana kami semua sudah lama mengenali antara satu sama lain. 

“Tak sangka tiba-tiba Allah bukakan rezeki untuk kami pergi umrah bersama-sama. Saya rasa gembira dengan peluang ini walaupun sudah pernah pergi, anggota Exists yang lain tak pernah pergi lagi. Jadi bila mereka semua teruja untuk pergi, dan ini adalah rezeki untuk kami. 

“Ini juga adalah salah satu peluang yang baik dan rezeki Tuhan nak bagi, tiada siapa yang tahu. Di samping itu juga, Exists pun mengalu-alukan juga kalau ada sesiapa yang nak pergi umrah bersama kami,” katanya.

Bagi Musa pula, jika selama ini beliau hanya membaca Sirah Nabi sahaja dan kini Darmina Revolution telah memberi berpeluang kepadanya untuk menziarah lokasi peninggalan Rasulullah SAW.  

“Perasaan saya amat senang sekali apabila diberitahu yang kami berpeluang untuk melakukan umrah. Berita gembira itu kami terima sekitar dua bulan lalu daripada pihak Darmina Revolution.

“Saya tidak pernah buat umrah, selama ini saya hanya membaca sirah Nabi SAW sahaja. Melalui bacaan pun air mata saya boleh gugur, ini pula dapat menziarahi tempat-tempat yang bersejarah itu. 

“Sudah pasti ini adalah peluang yang terindah buat saya kerana dapat menjejak kaki ke sana dan menziarahi makam dan tinggalan Rasulullah SAW.  Lebih indah lagi kerana saya akan pergi ke sana dengan band Exists nanti, terima kasih atas rezeki ini. Cuma saya mohon, dikurniakan kesihatan yang baik agar dapat menikmati peluang tersebut,” ulasnya. 

Sementara itu, Ajai turut melahirkan rasa teruja dan terharu kerana mendapat jemputan untuk menjadi tetamu Allah.

“Sesungguhnya saya sangat teruja dan terharu atas rezeki ini  berpeluang untuk menjejak kaki ke Tanah Suci. Terima kasih kepada Darmina Revolution atas peluang ini.

“Sekalung penghargaan juga saya ingin ucapkan kepada rakan-rakan Exists yang sama-sama meredah pelbagai cabaran di permulaan karier dalam industri. 

“Tak diduga rezeki Allah, ditakdirkan kami akan bersama-sama ke Kota Makkah, insya-Allah. Semoga Allah akan permudahkan segala urusan kami semua daripada mula hinggalah ke akhir ibadah,” luahnya.

Jika ada yang berminat untuk menunaikan umrah bersama Exists, harga yang ditawarkan adalah serendah RM8,500 (bilik berempat), RM9,100 (bilik bertiga) dan RM9,500 (bilik berdua). 

Perjalanan ke sana adalah menerusi penerbangan Saudi Air dan bakal menginap di Hotel Dar Ieman, Makkah dan di Hotel Artal International, Madinah. 

Untuk keterangan lanjut mengenai pakej Umrah Langkah Seiringan Exists, hubungi talian +60 16-432 8793 atau e-mel ke [email protected].