Dalam kehidupan kita hari ini, jangan abaikan peranan hati dan akal untuk berfikir. Setiap yang berada di sekeliling kita, jika dipandang dengan hati, pasti akan menemui indahnya Islam.
Nikmat keberadaan kita dalam Islam tidak akan diperoleh jika berhabis masa di depan komputer untuk hanya melihat facebook, tik tok, instgram dan youtube atau menyemak telefon semata-mata, tetapi lihatlah alam yang terbentang luas, dan fikirkan tentangnya. Allah berfirman,
“Katakanlah, ‘Berjalanlah di (muka) bumi, maka perhatikanlah bagaimana Allah S.W.T. menciptakan (manusia) dari permulaannya’.”(Surah al-‘Ankabut : 20).
“Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Karena sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang ada di dalam dada.”(Surah al-Hajj:46 )
“Dan apakah mereka tidak memperhatikan kerajaan langit dan bumi dan segala sesuatu yang diciptakan Allah swt?”(Surah al-A’raf: 185).
Apa yang terbentang di depan mata kita bukan hiasan semata-mata, tetapi ianya bahan yang perlu dikaji dan diteliti agar dapat menambahkan keimanan kita kepada yang Maha Esa. Jika tiada sebarang aksi atau tindak balas terhadap apa yang Allah ciptakan, dan apa yang Rasulullah s.a.w. bicarakan, cuba teliti hati kita, pasti ada sesuatu yang tidak kena.
Malah, asas kejadian manusia yang disebut oleh Allah satu persatu menerusi surah al-Mukminun ayat 14,
“Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku; lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu, Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.”
Diceritakan oleh Allah agar manusia berfikir bagaimana berkuasanya Allah menciptakan manusia hanya dari air dan menjadi sekujur tubuh. Fikir dan fikir! Pasti akan merasai betapa berkuasanya Allah dan kerdilnya kita sebagai hamba. Hal sedemikian akan menjadikan kita insan yang bersyukur dan bertakwa kepada-Nya.
Keterbatasan akal boleh difahami menerusi firman Allah dari surah Yusuf ayat 76,
“……..(Dengan ilmu pengetahuan), Kami tinggikan pangkat kedudukan sesiapa yang Kami kehendaki; dan tiap-tiap orang yang berilmu pengetahuan, ada lagi di atasnya yang lebih mengetahui”.
Ayat itu jelas, dalam pada kita mencari ilmu, jangan merasakan diri sudah cukup dan sempurna, tetapi sentiasalah meneroka ilmu Allah agar kita mencari kebenaran dalam segenap inci kehidupan. Dan sentiasalah juga bertanya kepada orang yang lebih mengetahui akan ilmu tersebut sebagaimana firman Allah,
“Dan Kami tidak mengutuskan Rasul-rasul sebelummu (Wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki yang Kami wahikan kepada mereka (bukan malaikat); maka bertanyalah kamu kepada Ahlu’dz Dzikri jika kamu tidak mengetahuinya.” (Surah al-Anbiya’:7).
3 aspek penting
Bagi mendapatkan daya pemikiran yang berpusat di hati, bukannya akal, tiga aspek ilmu penting perlu diambil kira. Pertamanya ialah wahyu, yakni yang menjadi tunjang daripada yang lain.
Wahyu ini hanya bersumberkan al-Quran dan hadis. Manakala keduanya adalah ilmu menerusi pancaindera iaitu ilmu sains dan pemerhatian manusia. Dan terakhirnya ialah ilmu bersumberkan logik akal semata-mata. Ketiga-tiga ilmu ini tidak boleh dipisahkan jika ingin berjaya di dunia dan akhirat. Konsep habluminallah dan habluminannas terkandung dalam kesemua aspek berikut.
Manakala, dalam memacu hati yang sihat, tiga elemen utama tidak boleh dipisahkan, iaitu iman, Islam dan ihsan. Iman itu merangkumi hal berkaitan akidah, untuk memahaminya perlu memahami rukun iman.
Islam pula adalah aspek fizikal, iaitu pengamalan yang merangkumi rukun Islam. Dan ketiganya ialah berkaitan spiritual iaitu kerohanian juga dikenali sebagai Ihsan dalam Islam. Ketiga-tiga aspek ini perlu seiring bagi menjadikan kita Muslim sejati dunia akhirat. Wallahu a’lam
_______________________________________________-
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’