Akademi Qurra’ : Tilmizah Syahirah peserta pertama tersingkir

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

QARIAH atau Tilmizah Nur Ain Syahirah Shaifullah, 21, menjadi peserta pertama yang tersingkir pada minggu kedua program Akademi Qurra’ yang ditayangkan di TV AlHijrah, semalam.

Syahirah yang berada dibawah bimbingan Mudarrisah, Ustazah Farhatul Fairuzah mengakui sedih atas penyingkiran itu, namun bersyukur dipilih menjadi peserta program itu.

Farhatul Fairuzah menenangkan Tilmizah Syahirah

“Perasaan saya memang sangat sedih, kalau boleh tak nak tinggalkan. Saya memang sudah rapat dengan rakan-rakan dan mudarrisah di sini. Keluarga di rumah pun memang memberikan harapan kepada saya.

“Sebenarnya untuk minggu kedua ini ada peningkatan dari segi suara dan lagu. Cuma mungkin ada salah pada bahagian lagu, saya mungkin termasuk lagu lain.

“Sebab saya tidak perasan dan bukan mudah untuk berada di pentas ini. Tapi saya tetap bersyukur disebabkan daripada ramai peserta saya antara 12 yang terpilih,” katanya kepada URTV.

Menurutnya yang berasal dari Kelantan, penyingkiran itu bukan penamat untuknya terus belajar memperbaiki kelemahan diri.

“Untuk taranum ini saya nak cari lagi guru-guru yang hebat dan banyak ilmu. Saya tak akan berhenti sampai sini dan akan datang lagi.

“Saya akan terus rujuk guru-guru yang ada di sini. Saya akan teruskan sampai bila-bila,Insya-Allah, Sebab ilmu tarannum dan al-Quran ini sampai mati,” ujarnya.

Pada minggu kedua yang bertemakan Inspirasi – OKU Penglihatan, Tilmiz Akasyah berada di kedudukan teratas, diikuti oleh Tilmiz Zuhdi dan Tilmiz Saifullah.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Akademi Qurra’, Saifulizzam Mohd Lizah berkata, penyingkiran perlu dibuat selepas kesemua peserta diberi peluang pada episod pengenalan pada minggu lalu.

Saifulizzam Mohd Lizah

“Kalau diikutkan saya memang mahu simpan mereka semua dan agak susah untuk buat keputusan penyingkiran ini sebab semua peserta sangat komited.

“Bila saya ambil laporan daripada mentor, peserta ini sangat bersungguh-sungguh. Mungkin sebab sudah lama tidak ada program seperti ini, jadi mereka punya semangat sangat hebat.

“Ia ditambah pula dengan sokongan daripada penonton. Berdasarkan reaksi penonton di media sosial, 98 peratus memberikan maklum balas positif untuk program seperti ini.

“Bagaimanapun, penyingkiran tetap harus dibuat sebab akhirnya nanti pada minggu kelapan, mungkin ada lima sahaja peserta ke peringkat akhir dan itu adalah perancangan awalnya.

“Jadi, untuk peserta yang tersingkir, saya tetap benarkan untuk terus berada dalam kelas sama ada secara dalam talian atau fizikal. Sekurang-kurangnya mereka terus dapat ilmu itu,” jelasnya.

Berkongsi mengenai perkembangan prestasi peserta, Saifulizan berkata, perasaan gemuruh itu masih ada.

“Dari segi peningkatan peserta saya nampak mereka bersusah payah mungkin sebab gemuruh. Mereka biasa masuk pertandingan tilawah, tapi bukan di peringkat yang tinggi.

“Perasaan gemuruh itu datang bila lihat ada juri, kamera banyak dan sebagainya.

“Jadi, minggu ini saya buat satu sesi untuk mantapkan diri dan alhmadulillah mereka semua nampak lebih bersedia.

“Inilah yang akan berlaku pada setiap minggu, kami mahu mereka lebih mahir dan faham ilmu taranum termasuk ilmu tajwid,” katanya.

Program Akademi Qurra’ dihoskan oleh Fakhrul UNIC, disiarkan setiap Sabtu, jam 9 malam dan diadili sepenuhnya oleh juri tetap iaitu Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, Qari Muhammad Qayyim Nizar dan juri jemputan berbeza pada setiap minggu.

Manakala Mudarris dan Mudarrisah yang menjadi tulang belakang membimbing semua peserta pula ialah Ustaz Ammar Mukhlis, Ustazah Farhatul Fairuzah dan Ustazah Sofizah Mousin.

Barisan juri Akademi Qurra’

Minggu kedua turut menampilkan juri jemputan Ustaz Dr. Lokman Ibrahim dan penyanyi jemputan Azmi Saat.

Persembahan penyanyi jemputan, Azmi Saat

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Karyawan tuntut kerajaan ambil alih kutipan royalti, mahu tamatkan kemelut 2 dekad

PERSATUAN Artis Malaysia (Karyawan) secara rasmi menuntut Kerajaan Malaysia untuk campur tangan dan mengambil alih kawalan sepenuhnya ke atas...

More Articles Like This