PELAWAK Ali Puteh menjelaskan, pada awalnya dia tidak berniat untuk memuat naik video yang mengaitkan kakak iparnya, Norhidayah Mohd Ali meninggalkan ‘sesuatu’ di kawasan rumah milik abangnya, Allahyarham Abam.

Sebaliknya, ujar Ali atau Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan,34, dia bertindak sedemikian selepas Hidayah terlebih dahulu memuat naik video berbaur fitnah selepas kedatangannya ke rumah arwah suaminya di Gombak pada Jumaat lalu tidak disambut keluarganya.

“Saya tak berniat nak buat video tapi pihak sana yang naikkan video fitnah itu dahulu di TikTok.

“Dia kata dia datang ke rumah tapi tak ada orang bagi masuk…tak ada orang buka pintu…sejam depan pintu rumah.

“Saya tak duduk di situ. Yang jaga rumah tu adik saya yang duduk situ. Kami tiga beradik saja yang tinggal.

“Belakang rumah arwah Abam itu rumah kakak saya,” kata Ali.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Balu Abam kesal sejam tunggu tapi tak dapat masuk rumah arwah, Ali Puteh pula dakwa Hidayah tabur ‘benda’ khurafat keliling rumah

Ali berkata demikian ketika siaran langsung (live) di TikTok bersama dua orang pengamal perubatan Islam iaitu Tok Singa dan Shafiq Mujahid.

Jelas Ali lagi, dia mempersoalkan tindakan Hidayah yang datang ke rumah arwah Abam tanpa menghubungi dirinya terlebih dahulu.

Malah, tegas Ali lagi, ketika kejadian, tiada seorang pun berada di rumah termasuklah dirinya kerana masing-masing berada di tempat kerja.

“Hari Jumaat saya tak ada dekat rumah, kerja. Datang pula tak beritahu. Kalau datang hari minggu, mesti kami ada di rumah,” jelasnya.

Sementara itu, Ali turut meluahkan rasa terkilan apabila Hidayah berkongsi keadaan rumah arwah suaminya yang dibiarkan tanpa penjagaan selain kawasan rumah juga dipenuhi dengan rumput liar.

Kata Ali, setiap bulan keluarganya memperuntukkan bajet untuk memotong rumput di kediaman terbabit.

Lebih membuatkan dirinya terkesan apabila menganggap Hidayah seolah lepas tangan kerana selepas tiga tahun pemergian Abam, dia tidak pernah bertanya mengenai bil utiliti rumah tersebut.

“Lepas itu dia buat video di TikTok kata keadaan rumah lusuh, rumput panjang. Arwah Abam dah meninggal tiga tahun, kalau rumah tak berjaga, dah bertutup dengan sawang rumah tu.

“Rumput itu kami potong setiap bulan. Ada ke dia tanya bil api dan air sepanjang tiga tahun yang kita jaga rumah itu?

“Tapi bila dia buat video TikTok macam tu, orang datang maki dan membenci saya. Saya tak harap netizen berada di sebelah saya. Cukup Allah saja nampak,” katanya.

Walau bagaimanapun, kenyataan terbaharu Ali itu mengundang perhatian warganet yang mempersoalkan tindakannya meminta Hidayah membayar bil utiliti rumah terbabit.

Netizen beranggapan, Hidayah tidak tinggal di rumah berkenaan dan mengapa pula dia yang perlu menjelaskan semua bil berkenaan.