Berusia 132 tahun, ini mesej tertua dalam botol pernah ditemui

Dari Penulis

PADA Januari 2018, Tonya Illman bersama suami dan anaknya berjalan-jalan di sekitar pantai di bahagian barat Australia. Sewaktu sedang berjalan di pesisir pantai Pulau Wedge, wanita itu menemui sebuah botol lama yang pada mulanya disangkakan sampah.

Botol itu ditemui dalam keadaan separuh tertimbus pada permukaan pasir. Apabila penutup botol itu dibuka, Tonya melihat ada cebisan kertas bergulung di dalamnya. Kertas itu digulung rapi dan diikat menggunakan benang.

Namun, dia tidak dapat membuka gulungan kertas tersebut kerana keadaannya yang lembap dan mudah terkoyak. Disebabkan itu, Tonya dan suami, Kym Illman, membawa pulang botol tersebut.

Setibanya di rumah, mereka memasukkan kertas itu ke dalam ketuhar gelombang mikro untuk dikeringkan selama lima minit. Setelah gulungan kertas dibuka, Tonya mendapati isi kandungannya tercatat cetakan yang masih jelas dan tulisan tangan yang sudah kabur. Kesemua huruf dan perkataan itu merupakan kata-kata dalam bahasa Jerman. 

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, mereka bertemu dengan pakar. Menurut Penolong Kurator Jabatan Maritim Arkeologi, Muzium Australia Barat, Dr. Ross Anderson, nota yang ditemui dalam botol berkenaan merupakan mesej dari sebuah kapal Jerman dikenali sebagai Paula.

Apa yang mengejutkan, waktu pada kertas mencatatkan tarikh 12 Jun 1886. Bermakna, usianya sudah pun menjangkau 132 tahun sewaktu ditemui. Tempoh ratusan tahun itu membuktikan mesej ini sebagai warkah dalam botol tertua di dunia yang ditemui, malah diakui oleh Rekod Dunia Guinness.

Botol yang ditemui Tonya mengandungi mesej tertua dari sebuah kapal Jerman.
Tonya menemui botol tersebut. Di dalamnya berisi kertas yang digulung.

Difahamkan, pembuangan botol itu merupakan sebahagian daripada eksperimen yang dijalankan selama 69 tahun. Ujian itu dibuat bertujuan untuk memahami arus lautan global selain mencari laluan perkapalan yang lebih cepat dan efisien.

Bermula dari tahun 1864 hingga 1933, beribu-ribu botol dilemparkan ke laut oleh kapal Jerman. Setiap sebuah bekas mengandungi maklumat seperti tarikh ia dibuang, nama kapal dan pelabuhan serta laluan perjalanan.

Pada bahagian belakang nota itu tertulis waktu dan lokasi penemuan yang dikosongkan. Ia bertujuan untuk diisi selepas kertas itu dijumpai sama ada di Balai Cerap Angkatan Laut Jerman, Hamburg atau Konsulat Jerman terdekat. Setakat ini, hanya 662 mesej yang dikembalikan dengan yang terakhir ditemui di Denmark pada tahun 1934. Bagaimanapun, hanya kertas sahaja yang ditemukan tanpa botol.

Catatan pada warkah kecil usang itu turut menerima bantuan dari arkib Belanda dan Jerman. Malah, Agensi Hidrografik dan Maritim Persekutuan Jerman serta Jabatan Meteorologi Negara juga mengesahkan penemuan tersebut sebagai asli.

Carian yang dilakukan menunjukkan terdapat bukti rekod botol dibuang ke laut yang ditulis oleh kapten kapal menerusi Jurnal Meteorologi Paula. Malah, tarikh dan koordinat yang tercatat juga sama dengan maklumat pada kertas yang ditemui.

Pakar percaya botol berkenaan dibuang di Lautan Hindi semasa dalam tempoh pelayaran. Malah, peta laluan pada waktu itu menunjukkan kapal belayar keluar dari Cardiff menuju ke Makassar, Indonesia sebelum kembali ke Amsterdam.

Maklumat yang sama ditulis oleh kapten kapal di dalam Jurnal Meteorologi Paula.
Kapal Jerman yang dikenali sebagai Paula.

Sebelum botol ini ditemui, pemegang Rekod Dunia Guinness untuk mesej tertua dalam botol disandang oleh sekeping poskad yang dibuang Persatuan Biologi Marin dari United Kingdom (MBA) pada November 1906. Kad pesanan itu ditemukan pada 17 April 2015 dan berusia 108 tahun.

** Rekod ini mungkin telah diatasi secara tidak rasmi apabila sebuah surat dalam botol ditemui pada November 2022 di sebuah rumah di Edinburgh, Scotland semasa pemilik rumah tersebut melakukan ubah suai rumahnya. Botol berisi surat yang mencatatkan kata-kata puisi itu bertarikh 6 Oktober 1887, iaitu berusia 135 tahun. Bezanya, ia merupakan botol yang dicampakkan di daratan, bukan lautan.

Botol yang ditemui di sebuah rumah di Scotland pada November 2022.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

‘Di dasar laut, saya menemui kebesaran Allah’ – Afizah 

"Saya sangka dasar laut hanya dipenuhi ikan dan batu karang. Rupa-rupanya, di situlah saya belajar erti kehidupan." Luah Pengasas Mikraj...

More Articles Like This