TV9 membawakan My #QuranTime 2.0 (MQT 2.0) khas buat penonton untuk meneroka isi kandungan Al-Quran dan mengenali kitab suci bagi umat Islam dengan lebih mendalam.
MQT 2.0 merupakan program anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (YWUI) dan didanai oleh penginfak dan pewakaf melalui Tabung Gerakan Al-Quran.
MQT 2.0 telah pun bersiaran bermula dari 5 Februari dan episod yang berikutnya disiarkan setiap hari, pukul 12.00 tengahari.
Program berdurasi satu jam ini akan bersiaran sebanyak 2,114 episod pada tahun ini dengan memaparkan empat segmen iaitu bacaan surah, kisah di sebalik surah, tajwid dan tadabbur.
MQT 2.0 menampilkan ustaz dan qari yang terkenal seperti Haji Fazrul Ismail sebagai pentadabbur, Ustaz Tarmizi Haji Ali sebagai Qari, Ustaz Tarmizi Abdul Rahman dan Azlina Mohamed Isa.
Pada mulanya, program ini diperkenalkan untuk mengisi dan meningkatkan semangat rakyat yang tertekan akibat pandemik Covid-19 yang melanda dua tahun lalu melibatkan sesetengah keluarga, saudara mara, sahabat handai bahkan seluruh dunia.
Pengembaraan ini bakal membawa anda meneroka Al-Quran bermula dari Surah Al-Fatihah hingga ke juz yang terakhir. MQT 2.0 juga adalah suatu usaha bagi membantu umat Islam untuk meningkatkan penghayatan dalam solat dan hafazan.
Mari kita ramai-ramai saksikan MQT 2.0 yang akan membawa penonton belajar untuk menghayati Al-Quran melalui hafalan dan pemahaman Al-Quran melalui tadabbur serta bacaan yang mantap melalui tajwid serta tahsin.
Istimewa kali ini, kajian yang dilakukan oleh YWUI untuk MQT kali ini dilakukan secara lebih mendalam untuk setiap satu pertiga dari 604 halaman Al-Quran modul Quran Al-Hafiz yang telah mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Jika terlepas, penonton boleh saksikan siaran ulangan bermula dari episod satu dan episod selanjutnya bermula pada 5 Februari, setiap hari, pukul 4.30 pagi.