PENYANYI Wani Kayrie akui tidak fikir tentang cinta buat masa sekarang dan hanya fokus kepada impian dan kerjayanya.
Menurut Wani atau nama sebenarnya, Syazwani Abdullah, 23, buat masa kini dia hanya fokus menjalani kehidupannya yang sibuk dengan kerja dan keluarga.
Dia juga ada menyimpan hasrat untuk menyambung lagi pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi.
“Saya dah habis ijazah sarjana muda dan saya juga ada impian untuk ambil Master dan Doktor Falsafah (PhD) pada masa akan datang.
“Saya tak fikir sangat tentang cinta ini, sekarang masa untuk karier saya berkembang dan fokus juga dekat keluarga,” katanya ketika ditemui pada sidang media program realiti masakan Dapur Tempur Selebriti TV9 di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini.
Ketika disoal tentang kriteria pasangan, Wani menjelaskan dia tidak pandang tentang prihal status atau kekayaan kerana keikhlasan dan kerajinan lebih penting.
“Saya tak kisah status dia macam mana, saya pun lahir dari keluarga biasa-biasa sahaja dan semua yang saya kecapi sekarang adalah dari usaha saya selama ini.
“Yang penting orang tu ikhlas mahukan saya dan rajin,” ujarnya kepada URTV.
Sebelum ini, pelantun lagu Kamu Kamu itu pernah dikaitkan dengan hubungan cinta bersama penyanyi Afieq Shazwan namun dikatakan telah putus dan kini selesa berkawan.

