IKAN antara haiwan yang mampu bermigrasi. Namun, antara yang unik dalam proses ini ialah putaran hidup ikan salmon. Ikan jenis anadromous ini dikenali mampu melakukan perjalanan yang panjang hingga ribuan kilometer, namun akhirnya akan kembali semula ke tempat ‘mereka’ dilahirkan.
Permulaan awal kehidupan seekor ikan salmon biasanya bermula di dalam air tawar antara sekitar bulan Februari dan November. Setiap kali tiba musim mengawan, salmon jantan akan mengusir segala sesuatu yang boleh mengganggu pasangannya untuk bertelur.
Apabila keadaan terkawal, salmon betina mulai menggali lubang-lubang kecil sedalam 30 sentimeter menggunakan ekornya. Siap menggali, ia akan meletakkan beberapa ribu telurnya ke dalam setiap lubang tersebut. Sebaik sahaja salmon jantan membuahi telur-telur tersebut, si betina cepat-cepat melindungi telurnya dengan cara menutup menggunakan batu kerikil.
Pada bulan Mac atau April, anak ikan salmon mulai keluar dari telur masing-masing. Anak ikan salmon atau disebut alevins hidup bersembunyi di bawah batu kerikil dan mendapat makanan dengan cara menyerap nutrien dari kantung kuning telurnya.

Selepas empat atau lima minggu, alevins tumbuh menjadi fry dengan panjang sekitar lima sentimeter dan mulai meninggalkan tempat perlindungan di bawah batu menuju ke aliran arus air.
Pada fasa itu, ia mulai mencari tempat perlindungan lebih selamat serta mendapatkan makanan baru seperti serangga kecil dan plankton. Malangnya, lebih dari 90 peratus fry ini mati akibat kekurangan sumber makanan dan selebihnya dimakan oleh pemangsa lain.
Setelah setahun berlalu, mana-mana fry yang masih hidup akan berubah menjadi parr. Panjangnya berukuran sekitar lapan atau sepuluh sentimeter dan mempunyai tanda khas berupa tompok-tompok gelap di sepanjang kedua sisi tubuhnya.
Menjelang bulan Mei dan Julai berikutnya, parr terus membesar menjadi apa yang disebut sebagai smolt. Ketika ini, panjangnya sudah mencapai lebih 15 sentimeter dan tompok gelap di badan mulai berubah menjadi warna perak berkilat. Pada fasa ini juga, ikan salmon mengalami beberapa perubahan menakjubkan yang jarang ada pada ikan lain.
Salmon tidak pernah diam setempat. Selang beberapa musim hidup di sungai, ia akan berpindah dan tinggal di muara sungai, seterusnya mengalami perubahan kimiawi yang menakjubkan.
Di muara sungai ia berusaha untuk menyesuaikan diri dengan air masin. Setelah itu, salmon dewasa akan berenang lebih jauh ke laut untuk meneruskan kehidupan.

Bagaimana ikan air tawar hidup di laut? International Atlantic Salmon Research Board memberitahu bahawa hal seumpama itu biasanya mustahil untuk berlaku. Namun, daripada beberapa kajian menunjukkan, salmon bukan seperti ikan lainnya. Ini kerana, insang ikan salmon ternyata mampu bertindak balas terhadap segala perubahan di sekitarnya sehingga dapat menyaring garam yang terdapat dalam air laut.
Di laut, ikan salmon akan memakan pelbagai jenis zooplankton. Setelah setahun, beratnya akan bertambah 15 kali ganda dari berat badan asal menjadi hampir tiga kilogram. Penelitian mendapati, jika ia tinggal di laut selama lima tahun, beratnya boleh mencapai sehingga 18 kilogram, malah ada yang mencecah melebihi 45 kilogram!

Ikan salmon bagaimanapun tidak menjadikan laut sebagai habitat kekal. Tiba masa, bila mana loceng biologi mengeluarkan isyarat migrasi, ribuan salmon bersama pasangan masing-masing akan melakukan perjalanan pulang ke ‘kampung’.
Dan gara-gara ingin kembali ke tempat ‘mereka’ dilahirkan, ikan-ikan ini sanggup menempuh jarak yang cukup jauh iaitu melebihi 1,500 kilometer. Bahkan, kadang-kadang mengambil masa berbulan-bulan lamanya untuk sampai ke tempat yang dituju.
Bukan itu sahaja, sepanjang berenang pulang ke hilir sungai, ribuan ikan salmon terpaksa melawan arus dan menempuh banyak rintangan. Malah, ia sanggup bergadai nyawa dengan melompat ke atas jeram-jeram, air terjun dan berhadapan dengan binatang buas.

Bagaimana salmon tahu lokasi tepat kampung halaman ‘mereka’?
Beberapa kajian yang dilakukan mendapati salmon memiliki isyarat dalaman yang sangat mengagumkan terutama daripada deria bau. Hidung salmon disifatkan sangat cerdas kerana berupaya mengesan bau-bauan yang berbeza di dalam air, sama seperti anjing. Dengan keistimewaan itu, ia dapat merakam dan mengingati semua bauan di sepanjang perjalanan untuk kembali ke tempat asalnya.
Kajian yang dijalankan oleh Nathan Putman dari Oregon State University turut mendapati salmon bijak menggunakan medan magnet bumi untuk kembali ke rumahnya. Jejak ikan salmon pada medan magnet itu masih ada ditinggalkan saat pertama kali ‘mereka’ berenang ke laut.
Selepas puas hidup di samudera luas, salmon akan mencari jejak tersebut dan menggunakannya untuk sampai ke kampung halaman. Sebaik selamat tiba di desa, salmon bersama pasangannya akan mulai melakukan proses pembiakan.
Sampai masa, anak-anak ikan salmon ini juga akan bermigrasi secara teratur ke lautan dan setelah itu kembali semula ke tempat kelahiran untuk membiak. Begitulah putaran kehidupan ikan salmon yang sangat unik.
Itulah sifat azali ikan ini. Bagaikan haruan pulang ke lubuk, ia sentiasa ingat di mana asal usulnya. Sejauh mana pun ia telah berkelana, akhirnya ia tetap semula ke tempat asalnya.


_____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

