Langsung tidak berasa sakit walaupun tulang patah. Salah satu penyakit aneh yang tiada penawar

Dari Penulis

BAYANGKAN, jika kita terseliuh sedikit pun sudah terjerit kesakitan, apatah lagi jika tulang kita patah. Sudah pasti tidak terperi sakitnya. Namun, ada juga kejadian yang disifatkan luar biasa apabila terdapat individu yang tidak berasa sakit walaupun mengalami patah tulang.

Salah satu kes unik yang pernah dilaporkan berlaku ke atas individu dikenali sebagai Steven Pete. Beliau mengalami keadaan di mana tidak berasa sakit ketika mengalami patah tulang. Situasi mengerikan itu pernah beberapa kali dialaminya. Apa yang aneh, Steven tidak pernah berasa sakit sepanjang tempoh  kecederaan itu.

Steven Pete dilahirkan pada tahun 1981 di Washington, Amerika Syarikat. Keadaan aneh yang dialaminya berlaku sejak dia berusia enam bulan. Pada waktu itu, dia baru memiliki beberapa batang gigi. Dia yang masih kecil ketika itu telah mengunyah daging lidahnya sendiri. Peristiwa itu disedari oleh ibunya yang terkejut dengan kejadian tersebut. Yang peliknya, Steven langsung tidak menangis kesakitan walaupun cedera.

Sejak itu, tubuhnya sering terluka tanpa dia sedar. Kedua ibu bapanya pernah membawanya berjumpa dengan doktor. Semasa pemeriksaan dijalankan, mereka menceritakan keadaan Steven yang seolah-olah tidak pernah berasa sakit walaupun cedera.

Penjelasan tersebut membuatkan doktor bingung kerana tidak pernah menemui keadaan pesakit seperti itu. Keadaan Steven menghairankan mereka, tambahan pula ketika itu pakar tempatan tidak dapat mengesahkan penyakit sebenar yang dialami Steven.

Bagaimanapun, selepas beberapa waktu melakukan kajian, sebanyak 40 kes ditemui mirip dengan keadaan dilalui Steven. Berdasarkan penjelasan yang diberikan oleh doktor pada masa itu, Steven disahkan mengalami ‘congenital insensitivity’.

Penyakit ini menyebabkan si penghidapnya kehilangan deria rasa sakit meskipun dalam kecederaan yang teruk. Contohnya, seperti Steven yang pernah patah tulang beberapa kali tanpa sebarang rasa sakit. Selain Steven, adiknya Christopher Pete turut disahkan mengalami perkara yang sama.

Penghidap penyakit ini tidak berasa sakit apabila tubuh mereka cedera atau tulang patah.

Pada tahun 2005, Steven berkahwin dengan seorang wanita bernama Jessica. Sebelum mendirikan rumah tangga, Jessica sudah sedia maklum perihal suaminya yang berbeza dengan individu lain. Selepas berkahwin, dia menjadi orang pertama yang akan perasan keadaan Steven semasa patah tulang. Gara-gara Steven sendiri tidak dapat merasai sakit, adakala kakinya sudah menjadi lebam dan bengkok tanda tulangnya patah.

Keadaan itu begitu membimbangkan Jessica. Keadaan suaminya sering menimbulkan rasa takut. Malah, Jessica tidak senang hati untuk melepaskan Steven melakukan tugasan mudah secara sendirian. Antaranya seperti memasak. Sebabnya, dia khuatir akan berlaku peristiwa buruk seperti melecur atau tersiram bahan panas semasa di dapur.

Selain itu, Jessica turut menyuarakan kebimbangan bagaimana sekiranya Steven diserang penyakit jantung secara tiba-tiba kerana dikhuatiri suaminya tidak menunjukkan sebarang tanda sakit jika perkara itu berlaku. Akibatnya, dia boleh mati secara mengejut tanpa sebarang tanda. 

Steven, antara penghidap penyakit aneh apabila tidak merasai kesakitan bila tubuhnya cedera atau tulangnya patah. Keadaan itu membimbangkan isterinya.

Dalam pada itu, apa yang menarik tentang keadaan pelik Steven ialah dia akan sembuh dengan sendiri tidak lama selepas mengalami kecelakaan. Steven tidak berasa sakit semasa tulangnya patah, dan disebabkan itu dia bebas bergerak secara normal. Hanya individu di sekelilingnya yang akan perasan perubahan pada fizikalnya seperti tulang terkeluar atau kesan lebam.

Pernah satu ketika sewaktu sedang bermain sejenis permainan tiub semasa musim sejuk, Steven telah jatuh menyebabkan mukanya tersembam pada permukaan ais. Dia bermain permainan tersebut selama tempoh lapan bulan. Sehinggalah pada satu hari, dia melihat struktur bahu dan tangan kirinya kelihatan jatuh. Meskipun begitu, dia masih tidak berasa sakit pada bahagian tersebut.

Steven akhirnya berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan. Ujian ‘magnetic resonance imaging’ (MRI) yang dijalankan ke atasnya begitu memeranjatkan doktor.

Pada awalnya, doktor beranggapan lelaki ini pernah mengalami kemalangan semasa memandu kereta atau ‘skydiving’. Namun, selepas bertanya kepada Steven, ternyata dia tidak pernah melakukan aktiviti tersebut. Hal itu semakin mengelirukan doktor kerana Steven disahkan patah tiga tulang ruas belakang. Dalam masa yang sama, dia tidak menunjukkan sebarang reaksi sakit semasa pertemuan tersebut.

Pada sesetengah orang mungkin beranggapan kelainan pada Steve adalah sesuatu yang bagus kerana tidak perlu merasai kesakitan. Tetapi bagi Steven dan keluarganya, keadaan itu bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan.

Tidak diketahui dengan jelas punca penyakit aneh yang dihidapi oleh Steven ini. Bahkan, tiada penawar untuk merawatnya. Salah satu teori yang dikaitkan, penyakit ini berkemungkinan boleh disebarkan melalui genetik atau keturunan.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

‘Bunian tak semua cantik’… Miman gambarkan makhluk misteri dalam karyanya

Lukisan bunian yang dihasilkan oleh pelukis muda berbakat, Miman, baru-baru ini mencuri perhatian ramai di media sosial.  Berbeza dengan gambaran...

More Articles Like This