BERSEMPENA dengan kedatangan Ramadan tidak lama lagi, Astro Ria bakal muncul dengan drama terbaharu berjudul Imam Instant Ustazah Scammer.
Drama sembilan episod arahan pengarah Hadith Omar itu menggandingkan dua pelakon popular, Hun Haqeem dan Mira Filzah buat pertama kalinya.
Hadith Omar berkata, kemunculan Mira Filzah dalam drama ini adalah yang terbesar selepas berumah tangga dan berehat seketika daripada pentas lakonan.
Mira dan Hun sebelum ini pernah bekerjasama tetapi melalui muzik video Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi lagu Siapa Tak Mahu.

Sudah tentu gandingan kali pertama dalam naskhah drama menimbulkan rasa teruja kedua- dua pelakon untuk menjayakan karya arahan Hadith Omar ini.
“Mira selepas berumah tangga, dia berehat sebentar dan ini merupakan ‘comeback’ yang besar untuk Mira dan kali ini digandingkan pula buat kali pertama dengan Hun.
“Ini betul-betul gandingan pertama mereka untuk sebuah naskhah drama. Very interesting , very cute, kena tengok,” kata Hadith kepada URTV.

Selain itu Hadith akui berdepan dengan pelbagai cabaran memandangkan penggambaran bermula ketika skrip belum siap sepenuhnya.
“Cabaran paling besar adalah sewaktu penggambaran bermula memandangkan skrip ketika itu masih dalam proses pembikinan.
“Jadi, kami tidak tahu apa yang boleh dijangkakan selain perlu beri fokus kepada jalan cerita serta mengagak apa yang terjadi.
“Alhamdulillah segalanya berjalan dengan baik apabila setiap episod mengikut mod dan emosi serta karakter selain cabaran lokasi kerana cuaca yang panas,” ujarnya.
Bersempena kedatangan Ramadan, Hadith berharap mesej dalam drama berkenaan dapat disampaikan dan difahami penonton terutama dalam menerapkan semangat bulan mulia.
“Drama ini berbentuk ringan tetapi terdapat isu serta banyak pengajaran kerana kami cuba memberikan didikan kepada peminat tentang pelajaran agama melalui komedi.
“Kami selitkan banyak pengajaran terutama mengenai ramadan untuk menyuntik kembali semangat sambutan bulan mulia dan hari raya yang kian pudar dalam masyarakat,” tutur pengarah Nusyuz Berkiblat Cinta itu.
Sementara itu Mira atau nama lengkapnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 30, meluahkan rasa lega kerana tidak perlu melakonkan watak berat sebaliknya karakter santai dalam drama bergenre komedi ini.

“Saya bimbang juga untuk buat kemunculan semula tetapi alhamdulillah dapat beraksi dalam sebuah cerita yang ringan, relaks dan komedi.
“Lebih penting, saya tidak perlu buat kemunculan semula dengan drama berat yang memerlukan saya nangis-nangis.
“Watak kelakar yang saya pegang ini ‘menjadi’ dengan bantuan semua orang di sekeliling serta tidak perlu berlebihan-lebihan,” katanya yang membawa watak Ustazah Scammer.
Akui Hun yang membawa watak Imam Asyraf, pengalaman bergaul dengan orang surau ketika zaman remaja memudahkannya menghayati karakter imam muda.
“Rujukan saya ada pelbagai termasuk karakter yang saya temui sebelum ini yang kemudian disatukan untuk jadi Imam Asyraf.
“Saya juga ada merujuk geng surau sebab dulu saya pernah jadi budak teh O di surau kerana sepanjang Ramadan, tugas saya buatkan minuman untuk jemaah tarawih,” ujarnya.
Sinopsis Imam Instant, Ustazah Scammer
Imam Instant Ustazah Scammer menceritakan tentang seorang wanita bernama Effa lakonan Mira Filzah yang menyamar menjadi ustazah melarikan diri dari ahlong ke Kampung Ramadan.
Secara tidak sengaja, Effa berjumpa dengan Asyraf watak Hun Haqeem yang merupakan imam dilantik segera kerana suka mengaji dan videonya menjadi perhatian ramai.
Namun, gelaran imam yang diberi membuatkan Asyraf kurang selesa dan meminta orang ramai berhenti memanggilnya sebegitu kerana dia hanya cintakan al-Quran.
Imam Instant Ustazah Scammer sebanyak sembilan episod akan ditayangkan bermula 5 Mac setiap Ahad jam 9 malam menerusi Astro Ria atau strim dalam Astro Go.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

